HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Disember 2011

Edar borang BR1M, pemimpin MCA dakwa diugut

MALAYSIA KINI

Timbalan pengerusi biro pengaduan awam MCA Selangor, Kelvin Chong Seng Foo hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa menerima ancaman kecelakaan jika meneruskan pengedaran borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Chong yang juga pegawai penyelaras MCA bagi kawasan DUN Kampung Tunku membuat laporan itu di Balai Polis Seapark di Petaling Jaya kira-kira jam 9.40 pagi ini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Chong berkata, beliau mendakwa menerima ugutan sebanyak lima kali melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 24 Disember lepas supaya jangan mengedarkan borang BR1M kepada rakyat terutama di kawasan Petaling Jaya.

"Ugutan iaitu ancaman supaya saya tidak memandu kereta lagi, kalau tidak saya akan mengalami kemalangan," katanya.

Beliau menganggap ini salah satu cara untuk melumpuhkan niat kerajaan membantu rakyat.

Chong berkata orang ramai boleh mendapatkan borang BR1M melalui pusat khidmat bergerak yang dijalankan dua kali setiap minggu di kawasan Kampung Tunku dan sekitar Damansara Utama atau mendapatkannya sendiri di Pusat Khidmat MCA di Jalan 21/17, Seapark.

"Ramai yang tidak tahu tentang bantuan ini terutamanya di kalangan masyarakat Cina kerana mereka tidak faham (borang dalam Bahasa Melayu) dan takut salah mengisi borang tersebut, jadi kami harap mereka boleh datang dan berjumpa terus dengan saya atau sesiapa sahaja yang berada di Pusat Khidmat Pelanggan tersebut," katanya.

Pengerusi biro pengaduan awam MCA Selangor Datuk Theng Book berkata ugutan itu tidak akan mematahkan usaha pihaknya untuk terus mengedarkan borang itu.

"Biro Pengaduan Awam (MCA) Selangor menerusi Kelvin, Datuk CK Lim dan saya sendiri telah mengedarkan kira-kira 5,000 salinan borang kepada rakyat. Semua rakyat bertanyakan borang itu dan kami sebagai pekerja sosial, kami membantu mereka mengisi borang dan menyerahkannya kepada kerajaan," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan itu kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Pendaftaran permohonan BR1M yang telah bermula pada 10 Disember lepas akan berakhir pada 10 Januari depan. Bernama

Tiada ulasan: