HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Disember 2011

Wujudkan Akta Gangguan Seksual sekarang

Roketkini.com


PETALING JAYA – Keselamatan dan kebajikan kaum wanita masih dipinggirkan oleh Barisan Nasional walau pun pelbagai janji manis telah dibuat.

Jaminan keselamatan dan harga diri wanita di tempat kerja juga belum memuaskan kerana kerajaan BN masih tidak berbuat apa-apa untuk mewujudkan Akta Gangguan Seksual bagi menghapuskan keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Teo Nie Ching mendesak agar undang-undang itu digubal dan dilaksanakan segera kerana Malaysia sudah jauh ketinggalan dalam soal menjaga kebajikan wanita.

“Malah, dalam program transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri gagal melihat kepentingan undang-undang gangguan seksual ini. Kita tidak punya cukup perlindungan berkaitan gangguan seksual.

“Sehingga hari ini, kita belum ada akta tersebut. Yang ada pun cuma disebut sambil lalu di dalam Akta Pekerja sahaja. Ini tidak mencukupi kerana di kebanyakan negara demokrasi, keselamatan dan harga diri wanita dijamin,” katanya kepada Roketkini.

Pada Februari 2009, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon, telah dilaporkan oleh media massa sebagai berkata bahawa kerajaan akan mewujudkan Akta Gangguan Seksual untuk menjamin keselamatan wanita, khususnya di tempat kerja.

Kini hampir tiga tahun telah berlalu, tidak ada apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan BN, walau pun timbalan menteri itu pada 2009 mengakui bahawa jumlah kes gangguan seksual yang sebenar lebih tinggi daripada yang dilaporkan kerana mangsa malu dan takut untuk merujuknya kepada pihak berkuasa.

Dari tahun 2005 hingga 2008, 3,906 kes gangguan seksual termasuk rogol dan cabul dilaporkan kepada polis manakala 27 kes yang melibatkan sektor awam dilaporkan telah dikenakan tindakan tatatertib.

Selain itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Serdang berkata, kebanyakan wanita terpaksa meninggalkan kerjaya apabila mencecah usia 35 tahun bagi menumpu sepenuh pehatian kepada anak dan keluarga.

“Kenapa berlaku begini? Kerana kita tidak mempunyai sistem penjagaan kanak-kanak yang bagus. Berbanding negara-negara maju, tempat kerja mereka menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak.

“Jadi, adalah agak sukar bagi wanita di Malaysia untuk meneruskan kerjaya mereka apabila mereka berkahwin dan mempunyai anak,” katanya.

Jelasnya, walau pun wanita boleh mengupah penjaga, ianya tidak berbaloi terutamanya kos menjaga anak biasanya tidak kurang dari RM1,000 sebulan.

Justeru, beliau mengulangi desakan agar kepentingan wanita dan kanak-kanak dapat diperhati dan diperhalusikan pihak kerajaan supaya dengan adanya penggubalan akta ini, ia juga dapat memangkin ekonomi negara.

Tiada ulasan: