HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Disember 2011

Suri rumah terkejut didakwa berhutang RM600,000

MALAYSIA KINI

Seorang suri rumah di Kampung Padang Pak Amat di Pasir Puteh, Kelantan terkejut apabila didakwa mempunyai hutang lapuk berjumlah
lebih RM600,000.

Faridah Muhamad, 45, berkata hutang itu diketahuinya ketika membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman mikro perniagaan di sebuah bank di bandar ini.

Pihak bank berkenaan memaklumkan beliau gagal dalam permohonan itu kerana mempunyai hutang lapuk bagi pembelian enam kereta di enam bank perdagangan dan pembelian barang peralatan rumah di sebuah kedai di Kuala Lumpur.

"Saya sendiri tak pernah kenal ibu negara (Kuala Lumpur) apatah lagi untuk membuat pinjaman secara berasingan itu...saya dan keluarga bukannya orang kaya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di warung kepunyaan suaminya di Pasir Puteh hari ini.

Beliau mendakwa surat tuntutan hutang berkenaan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat oleh pihak bank manakala tuntutan hutang atas pembelian peralatan rumah lebih RM15,000 dari kedai Courts Mammoth Malaysia Sdn Bhd turut diterimanya pada 21 November lepas.

"Syarikat guaman itu meminta saya melunaskan hutang itu dalam tempoh terdekat jika gagal berbuat demikian tindakan mahkamah akan diambil terhadap saya," katanya.

Faridah berkata notis amaran itu diperolehinya ketika beliau pulang ke rumah ibunya di Manek Urai, Kuala Krai pada pada 23 Disember lepas.

Katanya beliau tidak mampu untuk menjelaskan hutang berkenaan memandangkan hidupnya seharian hanya bergantung kepada suaminya sebagai pengusaha warung kecil yang berpendapatan antara RM300 dan RM600 sebulan.

"Dengan pendapatan sebanyak itulah kami menyara keluarga termasuk membiayai empat orang anak yang berumur empat hingga 15 tahun, tiga daripadanya sudah memasuki peringkat persekolahan," katanya.

Beliau berkata laporan polis telah dibuatnya tiga hari lepas. Bernama

Tiada ulasan: