HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Disember 2011

Blog 1Malaysia: Najib dokumentasi pencapaian sepanjang 2011




KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, atas sifat keprihatinan kerajaan pimpinannya mendengar masalah rakyat, beliau berupaya untuk melakukan pelbagai program perubahan dan transformasi untuk membantu rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau melalui laman blog 1 Malaysia dalam artikel bertajuk ‘Sekilas Pandang 2011’.

“Mendengar dan bersifat sensitif terhadap kehendak rakyat adalah tanggungjawab saya sebagaimana tanggungjawab yang dipikul kerajaan pimpinan saya. Oleh kerana kami mendengar, kami berupaya melancarkan program sentrik untuk Rakyat,” menurut Perdana Menteri dalam blog tersebut.

Najib (gambar) turut menyenaraikan beberapa program transformasi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilancarkannya bagi mengatasi masalah inflasi dan kenaikan harga barang demi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mengatasi masalah terbabit.

“Dalam usaha mengatasi isu inflasi dan kenaikan harga barang, saya memperkenalkan 7 NKRA ke dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) - bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelas Najib.

Antara program transformasi yang dijelaskan beliau adalah termasuk Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Jelas Najib dalam artikel berkenaan, kerajaannya turut menyedari kepentingan golongan belia di negara ini dan oleh sebab itu, beliau memperkenalkan Dana Belia 1Malaysia (DB1M) bagi memberikan peluang kepada generasi muda untuk merealisasikan idea dan projek mereka.

“Menyedari kehendak untuk membangunkan generasi muda di Malaysia, DB1M dibangunkan untuk membiayai idea dan projek belia. Ia diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 lalu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pembentangan Belanjawan 2011 juga menyaksikan pemerkasaan terhadap rakyat berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar, serta kakitangan kerajaan.

Mengulas berkenaan peranan ekonomi, Najib turut menjelaskan keberhasilan Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaannya bagi memacu ekonomi negara untuk terus berada di tahap yang membanggakan.

“Laporan Bank Dunia 2011 menunjukkan Malaysia berada dalam lingkungan 20 negara yang mempunyai kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan menduduki tangga pertama dunia bagi kemudahan mendapatkan pinjaman perniagaan. ETP telah menunjukkan hasilnya.

“ETP yang mula dibangunkan pada September lalu, untuk separuh tahun pertamanya, Malaysia telah menerima Pelaburan langsung Asing (FDI) berjumlah sehingga RM21.3 bilion.

Tambah Najib, ketika ulangtahun pertama ETP Oktober lalu, ia menunjukkan Malaysia memperoleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejumlah RM228.55 bilion dan pelaburan yang bernilai RM171.21 bilion, dengan anggaran keseluruhan tersebut telah menawarkan 372,361 peluang kerjaya kepada rakyat.

Najib turut menjelaskan, 2011 merupakan tempoh masa dirinya meningkatkan hubungan interkasi bersama rakyat menggunakan media sosial sebagai platform.

“Saya telah menjemput mereka dalam sesi soal jawab di Twitter dan Facebook dengam menggunakan #Tanyanajib, dan tidak menyangka akan mendapat respon balas yang positif tetapi saya hanya berkesempatan menjawab beberapa soalan yang diajukan walaupun terdapat soalan yang unik,” katanya.

Beliau turut mengadakan sesi minum petang bersama-sama kira-kira 600 rakan sosialnya di Seri Perdana, dan kemudiannya melancarkan ‘Mari Berhubung, Mari Berjumpa’ untuk rakan medianya yang berada di luar kawasan Lembah Klang.

Beliau turut menyatakan keterujaannya dalam pertemuan bersama penyokong Kelab Najib Razak (NRC11) di Petaling Jaya.

“Saya mendapat peluang yang banyak untuk berhubung dengan belia tahun ini, yang paling tidak dapat dilupakan adalah Konsert Suara Kami yang saya hadiri selepas mendapat jemputan yang menggalakkan daripada respon dan tweet daripada rakan online,” katanya.

Beliau turut menceritakan detik ketika diberikan peluang membuat panggilan ‘Gotcha’ di Hitz.fm, dan turut dilihat muncul di stesen-stesen radio utama sebagai satu langkah untuk mendekati belia.

Lanjutan daripada itu, Najib turut menjelaskan berkenaan cadangannya terhadap Sesi Meja Bulat 1Malaysia, platform interaktif untuk rakyat Malaysia memberikan pendapat dan idea untuk hidup yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

“Saya turut mengambil bahagian dalam satu sesi berkenaan dan telah membincangkan berkenaan pembentangan belanjawan untuk pertumbuhan yang mampan,”katanya lagi.

Dalam artikel tersebut, Ahli Parlimen Pekan ini turut menceritakan berkenaan lawatan-lawatannya ke luar negara demi tanggungjawab antarabangsa kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pengukuhan ETP sebagai matlamat utama.

“Saya membuat lawatan rasmi pertama ke United Kingdom tahun ini atas jemputan Perdana Menteri Britain, David Cameron di mana saya berpeluang melawat kapten industri negara berkenaan untuk meneroka peluang peraburan di Malaysia.

Di sana, saya turut diberi penghormatan untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Gabungan kesederhanaan antara tamadun” di Dewan Sheldonian, Oxford England.

Jelas Najib, lawatannya menghadiri Pelaburan Malaysia New York 2011 di Amerika Syarikat telah berupaya menarik pelaburan baru yang di anggarkan bernilai sekitar RM5 hingga RM6 juta bagi tempoh dua hingga tiga tahun.

“Saya turut berada di Jepun untuk Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-17 di Tokyo dan telah menerima pengesahan bahawa sejumlah kira-kira RM3.8 bilion bagi pelaburan akan diterima daripada syarikat Jepun,” tambahnya menjelaskan kepentingan hubungan luar dengan masyarakat antarabangsa.

“Saya turut berucap berkenaan Pelan Induk Digital Malaysia yang sedang dibangunkan ketika mesyuarat di Badan Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York yang dipengerusikan saya.

“Tahun ini juga, saya telah menghadiri beberapa persidangan antarabangsa seperti persidangan Negara-Negara Komanwel di Perth, Australia, Sidang Kemuncak APEC di Honolulu, Hawaii, dan Sidang Kemuncak ASEAN di Bali, ketika berada di Hawai, saya diberi penghormatan untuk mengutarakan pendapat saya berkenaan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) di Pusat Timur-Barat yang berprestij,” tambahnya lagi.

Mengakhiri artikel berkenaan, Najib berharap rakyat akan tetap bersama dengan kepimpinannya untuk tahun-tahun akan datang bagi terus memastikan perkembangan yang progresif dan kelangsungan Semangat 1 Malaysia.

Tiada ulasan: