HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Disember 2011

PKR: ‘Jamil Khir perlu tampil beri penjelasan bukan selindung belakang pegawai kerajaan’




KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuduh pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengamalkan ‘double standard’ dalam mempertahankan penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain itu PKR juga turut mendakwa beberapa individu lain telah dipenjarakan dan dihukum di atas kesalahan yang lebih kecil berbanding Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Jamil Khir (gambar) perlu tampil ke hadapan untuk menjelaskan perkara sebenar dalam isu penyalahgunaan wang zakat dan bukannya “berselindung” di belakang pegawai kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan alasan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif (MAIWP) Dr Muhammad Yamin Ismail dengan mengatakan pembiayaan kos guaman Jamil Khir dan dua lagi pegawai kanan agensi itu dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.

“Saya berharap Jamil Khir sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.

Selain itu, menurut Nik Nazmi, telah berlaku percanggahan maklumat apabila Jamil Khir pernah menafikan penggunaan wang zakat untuk membiayai kos guaman sambil menambah Yamin merahsiakan wang “pendahuluan” RM63,650 wang zakat yang telah disahkan Ketua Audit Negara pada November 2011.

“Dalam kenyataannya, beliau (Yamin) juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah.

“Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka,” katanya.

Semalam Yamin menjelaskan MAIWP menggunakan peruntukan khas kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Jamil Khir dan dua pegawai lain dalam kes itu.

Sebelum ini Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.

Pakatan Rakyat juga turut menyeru Jamil Khir agar tampil untuk membuat penjelasan dan membersihkan namanya dari tuduhan penyalahgunaan wang zakat.

Tiada ulasan: