HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Disember 2011

Bilangan rakyat miskin semakin bertambah

Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan melebarkan jurang di antara yang miskin dan kaya menjelang tahun 2020 nanti.



PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sebuah program ekonomi yang tidak berjaya meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak malah menambah bilangan rakyat termiskin adalah perancangan ekonomi yang tempang dan membelakangkan kebajikan rakyat.

Menurut beliau, Program Transformasi Ekonomi (ETP – Economic Transformation Programme) merupakan suatu kebijakan ekonomi lapuk dan gagal membawa sebarang perubahan.

Anwar berkata demikian sebagai membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal memberi jawapan yang memuaskan ketika mengkritik ucapan beliau (Anwar) di bawah tajuk ‘Debunking ETP:Widening Income Gap’ di Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.

Najib tidak menjawab persoalan utama yang saya lontarkan, iaitu menjelang tahun 2020, sekitar 7 hingga 8.3 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan bakal digolongkan sebagai miskin bandar.

“Angka itu menunjukkan selepas berbilion ringgit dibelanjakan, hanya penambahbaikan yang tidak seberapa,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan media.

Kata Anwar, “persoalan utama ini wajar dijawab dengan berkesan oleh Perdana Menteri sendiri. Apatah lagi apabila hujah saya dikemukakan dengan mengambil kira unjuran-unjuran ETP adalah meragukan.

“Misalnya unjuran pertumbuhan upah 3.6% setiap tahun, dari tahun 2010 sehingga tahun 2020 yang bertentangan dengan pertumbuhan upah pekerja tahun 2000 hingga 2009 yang hanya menokok sekitar 2.6% setiap tahun manakala kos sara hidup meningkat mengatasi pertumbuhan upah,” tambahnya.

Kenyataan ini katanya diperkukuhkan oleh Kajian Pasaran Buruh 2009 yang melibatkan 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja. Laporan tersebut menyatakan 33.8% dari jumlah pekerja tersebut mendapat upah kurang dari RM700 sebulan.

“Angka ini sekiranya diunjurkan kepada keseluruhan tenaga kerja negara menyimpulkan 34% dari jumlah keseluruhan tenaga kerja negara berada di bawah paras kemiskinan. Berdasarkan fakta-fakta ini, unjuran pertumbuhan upah pada paras 3.6% adalah tidak tepat.

“Manakala itu unjuran kerajaan bahawa inflasi akan berada pada paras 2.8% setiap tahun sehingga tahun 2020 juga tidak realistik apabila kadar inflasi sejak 12 bulan lalu sentiasa melangkaui paras 3%,” jelas Anwar.

Inflasi melebihi 2.8%

Sasaran untuk mencapai pendapatan kasar kebangsaan (GNI – Gross National Income) per kapita sebanyak RM48,000 setahun pada tahun 2020 tidak akan dicapai sekiranya inflasi melebihi 2.8% untuk tahun mendatang.

Jika inflasi purata sehingga tahun 2020 mencecah 4% setiap tahun, dianggarkan seramai 7.6 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan dalam tahun 2020, meningkat sebanyak 1 juta berbanding jumlah 6.6 juta dalam tahun 2009.

Keadaan ini lebih parah sekiranya inflasi purata mencecah 6% setiap tahun bila mana jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan adalah 8.3 juta orang.

Persoalan paling utama yang langsung tidak dijawab adalah kesimpulan saya bahawa kekayaan negara akan semakin dibolot golongan kaya di bawah ETP sementara rakyat terbanyak dipinggirkan.

Ujar Anwar, “Najib langsung tidak menafikan analisa saya bahawa nisbah upah pekerja kepada pendapatan kasar negara akan berkurangan dari 40% (tahun 2009) kepada 33% sahaja (tahun 2020).

“Walhal, ini merupakan permasalahan utama di negara kita, manakala golongan kecil, keluarga dan kroni mengaut kekayaan, sementara majoriti rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang melonjak sedangkan pendapatan tidak meningkat.

“Persoalan-persoalan ini adalah isu besar ekonomi negara apabila pentadbiran sedia ada menyalurkan seluruh kekayaan negara untuk membiayai projek-projek besar di bawah ETP.

“Malang sekali apabila kesannya kepada rakyat adalah menambah golongan miskin dan melebarkan jurang di antara yang miskin dan kaya menjelang tahun 2020 nanti,” terang beliau.

Tiada ulasan: