HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Disember 2011

Simpati Siti Mariah pada Shahrizat boleh kelirukan rakyat

Kenyataan beliau beri “advantage” kepada Shahrizat dan Umno apabila momentum Pakatan Rakyat menyerang Umno dan Shahrizat tiba-tiba menjadi sejuk.



PETALING JAYA: Kenyataan Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud di dalam sebuah akhbar harian berbahasa Melayu pada hari ini boleh mengelirukan rakyat dan ahli PAS terutama mereka yang terdiri daripada muslimat (wanita), demikian kata AJK Muslimat PAS Pusat yang enggan namanya disebut.

Menurut beliau kenyataan Siti Mariah bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil adalah ‘kambing hitam’ kerana pihak bertanggungjawab tidak disabitkan kesalahan dalam isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) merupakan satu kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah Shahrizat langsung tidak ada kena mengena dalam isu NFC.

“Kenyataan Siti Mariah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja merupakan satu kenyataan bersifat peribadi kerana setahu saya Muslimat PAS tidak mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Secara peribadi Siti Mariah berhak untuk bersimpati terhadap Shahrizat. Tetapi sifat demikian seharusnya simpan di dalam hati beliau, bukannya menghebahkan kepada umum di dalam akhbar yang boleh mengelirukan rakyat, ahli PAS dan Muslimat PAS.

“Kenyataan Siti Mariah memberi “advantage” kepada Shahrizat dan Umno apabila momentum Pakatan Rakyat menyerang Umno dan Shahrizat tiba-tiba disejukkan oleh kenyataan Siti Mariah.

“Apabila pemimpin nasional PAS (Siti Mariah) sendiri memberikan kenyataan bersifat mempertahankan seorang pemimpin Umno dan

Menteri Umno yang pernah mencemar budaya Melayu Islam apabila menyentuh bab singsing lengan dan selak kain, ini sudah tentu akan mengelirukan orang ramai, ahli PAS dan ahli Muslimat sendiri”, kata pemimpin tersebut dengan nada tegas.

AJK Muslimat PAS Pusat itu berkata walaupun ada ramai lagi pihak yang harus dipersalahkan dalam isu NFC ini, adalah tidak sukar untuk menjawab kenapa fokus serangan itu lebih terarah kepada Shahrizat

.

“Duit RM250 juta itu adalah duit rakyat dan seharusnya projek itu untuk rakyat tetapi kini projek itu sudah menjadi projek keluarga Shahrizat.

“Bolehkah saya menjadi Menteri dan syarikat milik suami dan keluarga saya mendapat dana RM250 juta dari kerajaan untuk mengusahakan ternakan kambing atas matlamat membekalkan permintaan kambing dalam negara dan mengurangkan import daging kambing.

“Seterusnya projek itu gagal dan saya gunakan duit itu untuk membeli kondominium, kereta mewah dan sebagainya. Apakah saya boleh cuci tangan dengan mengatakan projek/pusat ternakan kambing itu atas nama suami saya dan saya tidak ada kena mengena.

“Secara teknikal mungkin saya tidak kena mengena kerana nama saya bukan pemenang saham. Tetapi secara moralnya saya harus bertanggungjwab kerana saya merupakan seorang menteri kepada rakyat, dana tersebut adalah milik rakyat dan saya isteri kepada pengerusi pusat ternakan kambing tersebut,” jelas beliau.

Beliau turut menambah ada banyak lagi isu nasional yang boleh diulas oleh Siti Mariah atau kenapa tidak sahaja menyerang terus pihak yang meluluskan projek tersebut. Tetapi dengan memberikan kenyataan simpati pada Shahrizat ini secara tidak langsung memberikan satu talian hayat kepada Shahrizat.

“Jika Siti Mariah bersimpati dengan Shahrizat elok juga beliau menasihatkan Shahrizat agar tidak memalukan budaya Melayu dan Islam pada masa akan datang; merujuk kepada ucapan Shahrizat di Perhimpunan Agung Wanita Umno berhubung kenyataan Shahrizat yang nak singsing lengan dan selak kain.

“Isu singsing lengan dan selak kain ini juga mengundang serangan kepada Shahrizat”, kata beliau lagi.

Kenyataan peribadi

Sementara itu FMT menghubungi Ketua Muslimat Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof untuk mendapatkan penjelasan beliau berhubung kenyataan Siti Mariah.

“Saya sudah baca akhbar tersebut dan kenyataan Siti Mariah merupakan kenyataan peribadi dan bukan mewakili Muslimat PAS.

“Walaubagaimanapun kenyataan beliau bukan untuk mempertahankan Shahrizat tetapi apa yang beliau utarakan ialah kenapa Shahrizat seorang sahaja diserang dan didesak letak jawatan sedangkan ada lagi pemimpin Umno juga harus bertanggungjawab seperti Timbalan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluluskan projek itu
ketika beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Mungkin nampak ayatnya seperti itu (menyokong Shahrizat) tetapi sebenarnya tidak”, kata Siti Zailah yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini Siti Mariah dipetik berkata bahawa Muslimat PAS melahirkan rasa simpati kepada Shahrizat kerana didesak melepaskan jawatannya kerana dikaitkan dengan isu NFC.

Siti Mariah juga berkata Shahrizat adalah ‘kambing hitam’ di dalam isu ini.

“Tidak adil kerana bukan dia seorang perlu dipersalahkan, sebaliknya orang lain terlepas. Kalau kita lihat dana NFC bukan melibatkan Shahrizat dengan suaminya sahaja. Orang lain meluluskan projek RM250 juta perlu didakwa.

“Sebagai wanita saya ada suami dan apabila menghadapi masalah kita akan berbincang. Namun apabila masalah tidak boleh diselesaikan kenapa mereka berdua perlu dipersalahkan”, Siti Mariah dipetik berkata demikian.

Tiada ulasan: