HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Disember 2011

Penceraian: Pensyarah cadang kursus pascakahwin

MALAYSIA KINI

Kursus pra perkahwinan perlu dimantapkan lagi dengan menerima peserta pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin sebagai usaha membendung perceraian, kata Prof Dr Najibah Mohd Zain.

Pensyarah Undang-Undang Islam di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata untuk tujuan itu modul yang sesuai perlu diperkenalkan dalam kursus berkenaan.

"Modul kursus pra perkahwinan yang sedia ada hanya bertujuan memberi maklumat dan pendedahan awal kepada bakal suami isteri yang akan mendirikan rumahtangga.

"Kursus itu perlu diwajibkan kepada setiap pasangan 'lama' bagi membendung kes perceraian yang tidak munasabah antara suami isteri di negara ini yang semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Najibah berkata modul yang sesuai perlu diperkenalkan dalam kursus untuk pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin (lima tahun ke atas) bagi membendung kadar perceraian yang tinggi.

Beliau diminta mengulas laporan media yang mengatakan pihak berkuasa agama seakan-akan sudah buntu untuk menyelesaikan masalah perceraian di kalangan pasangan Islam yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Najibah berkata kursus ini perlu dihadiri setiap pasangan suami isteri lama berkahwin dan melalui fasa mencabar dalam alam rumahtangga kerana ia dapat mengukuhkan institusi keluarga dan seterusnya mengurangkan kadar perceraian di
negara ini.

"Kursus akan memberi pendedahan berbeza daripada kursus pra perkahwinan kerana setiap pasangan suami isteri yang mengambil bahagian telah hidup bersama serta mengenali pahit getir alam rumahtangga," katanya.

Menurut Najibah, kes perceraian yang kerap berlaku ini memerlukan setiap pasangan kembali kepada agama dengan menjadikannya sebagai landasan membuat sesuatu keputusan yang memberi impak kepada banyak pihak.

"Agama menjadi tunjang utama kepada kekuatan sesebuah institusi keluarga yang menjamin perhubungan tersebut harmoni.

"Ini jelas disebut di dalam hadis serta al-Quran tentang kehidupan berkeluarga yang boleh dijadikan pegangan dan ikutan dalam sesebuah perhubungan," tambah beliau.

Sementara itu, Nurdini Ayob, 28, yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun bersama lelaki pilihannya berkata dia menerima setiap kejadian sebagai satu ketentuan Allah dan mempunyai hikmah tersendiri.

"Perkahwinan saya sebelum ini gagal mungkin kerana berkahwin pada usia yang terlalu muda di mana saya sanggup berhenti belajar semata-mata untuk berkahwin tanpa berfikir panjang akan kesan akan datang," katanya, yang juga seorang penjawat awam ketika berkongsi pandangan dengan Bernama.

Nurdini menasihati pasangan baru yang ingin berkahwin supaya menyiapkan diri dengan persedian mental dan fizikal menghadapi alam rumahtangga yang sebenar serta bersedia memikul tanggungjawab bersama.

Beliau berkata sokongan dari keluarga serta ilmu agama berjaya membuatkannya kuat dan tabah untuk bangun semula selepas perkahwinan pertama menemui kegagalan pada usia perkahwinan baru mencecah lima tahun.

"Saya terima seadanya semua yang berlaku dengan mendekatkan diri pada Allah...Alhamdulillah saya sekarang telah mendirikan rumahtangga untuk kali kedua dan bahagia bersama suami kerana menganggap perkahwinan kali ini dibuat berdasarkan keputusan yang bijak," kata Nurdini.

Pasangan pengantin baru Syamsul Azhar Hussin, 30, dan isterinya Rozzana Kamaluddin, 28, menyambut baik cadangan mewajibkan setiap pasangan suami isteri menghadiri kursus bagi tujuan mengukuhkan institusi keluarga.

"Ini merupakan satu daya usaha yang dapat membendung budaya kahwin cerai yang sering berlaku apabila mereka yang sudah tidak sefahaman melihat perceraian sebagai satu pilihan terakhir," kata Syamsul Azhar. Bernama

Tiada ulasan: