HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Disember 2011

Selesai konflik dengan dialog, bukan keganasan

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG: Jalan terbaik untuk menyelesaikan konflik membabitkan perbezaan pandangan antara agama adalah dialog bukannya keganasan.

Pengerusi Dialog Antara Agama Asia Tenggara, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana keganasan boleh mencetuskan keganasan yang lain.

Lagipun, jelasnya Islam tidak pernah mengajar umatnya menzahirkan sikap yang tidak lunak dengan agama lain seperti bersikap bongkak, melakukan keganasan dan pengeboman tempat ibadat yang menjadi simbolik sesuatu agama.

"Saya tetap tegaskan bahawa jalan terbaik atasi konflik antara agama ialah jalan dialog sebab dialog tidak mengundang permusuhan sebaliknya memberikan keamanan dan kesejahteraan pada semua kaum, agama dan bangsa," ujarnya ketika diminta mengulas pengeboman gereja di Nigeria, semalam.

Jelasnya, asas yang penting ialah melalui perundingan dan dialog untuk melahirkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain apatah lagi perbuatan tersebut sengaja dilakukan pada sambutan Krismas.

Beliau juga menekan bahawa perbuatan itu satu kesalahan dalam Islam kerana ia melibatkan mangsa yang tidak berdosa serta melibatkan rumah ibadat yang menjadi lambang sesuatu agama.

Tambahnya, di dalam Islam pun semasa perang rumah ibadat tidak boleh disentuh apatah lagi melakukan perbuatan yang tidak bertamadun itu.

"Jangan jadikan rumah ibadat sebagai mangsa keganasan kerana sikap itu boleh mencerminkan kebiadapan umat Islam sedangkan dalam Islam tidak pernah menyuruh bertindak begitu," tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.

Sebelum ini, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar mengeluarkan kenyataan bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap dua gereja iaitu St Teresa dan gereja Evengelical, Nigeria diserang oleh sekumpulan yang menamakan diri mereka 'Boko Haram'.

Akibat serangan berkenaan 15 orang awam terkorban.

Tiada ulasan: