HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Disember 2011

Chin Tong: Jangan tersilap pilih medan perang

Lim Hong Siang


Politik tanpa percaturan strategi yang bijak bisa membinasakan, apatah lagi seandainya terikut-ikut diheret rentak musuh, secara sedar atau tidak. Sesungguhnya, idealisme sering menemui batasnya dalam struktur politik yang mencengkam ini, namun mangsa sistem ini semestinya bukan pembangkang sahaja. Dari satu segi, pemerintah memerangkap sendiri dalam pelusuk sehingga gagal terkeluar untuk menerokai dunia baru seiring dengan arus perubahan.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 15 Disember 2011, Setiausaha Biro Antarabangsa DAP Liew Chin Tong (gambar kiri) mengenalpasti kekuatan Pakatan Rakyat (PR), mengupas kecenderungan pengundi berdasarkan laporan tinjauan soal-selidik, malah mencari jalan untuk mengharungi kekangan yang ada dalam senario politik terkini.

Liew Chin Tong menggolongkan isu-isu yang dihadapi kepada tiga kategori, iaitu pendemokrasian politik, pendemokrasian ekonomi dan isu budaya yang melibatkan isu identiti, agama, etnik dan sebagainya. Beliau berkata, PR perlu mengenalpasti, sejauh manakah muafakat dicapai dalam kategori isu tersebut, dan permuafakatan kategori manakah yang menjadi keutamaan rakyat ketika mengundi?

Menurut Liew Chin Tong, PR mencapai muafakat hampir 95% dalam isu pendemokrasian politik, dari isu reformasi parlimen, kehakiman, sistem pilihan raya, hinggalah pemansuhan akta zalim seperti ISA; sambil beliau mengakui bahawa mungkin wujud sedikit perbezaan pandangan dalam isu pilihan raya tempatan lantaran pertimbangan faktor perkauman.

Dalam kategori isu pendemokrasian ekonomi pula, Liew Chin Tong mendakwa bahawa PR mencapai muafakat sekurang-kurangnya 80% hingga 90%, termasuk menumbangkan kroni yang sedia ada; membuka sektor yang kini dimonopoli dan sebagainya, meskipun masing-masing mempunyai sebilangan kecil orang "kiri" dan "kanan" dalam parti.

"15%" penentu kerajaan

Beliau mengetepikan sejenak kategori isu budaya, yang diakui ada kesulitannya - mengajak wartawan untuk meneliti tinjauan soal selidik yang dilakukan Merdeka Center sebelum ini. Liew Chin Tong berkata, hasil tinjauan sebelum ini memperlihatkan trend yang berulangan, iaitu kira-kira 60% ke atas Melayu menyedari bahawa UMNO adalah sebuah parti yang korup dan haprak. Pada masa yang sama, hanya 45% Melayu pada paras tertinggi, bersedia untuk menyokong PR ke arah pembentukan kerajaan baru.

"Dengan kata lain, 60% Melayu benci pada UMNO, tetapi hanya 45% bersedia mengundi kami (PR). Saya menganggap 'vakum 15%' itu adalah cabaran kepada kita," kata ahli parlimen Bukit Bendera ini.

Liew Chin Tong berkata, UMNO-BN memilih untuk membesar-besarkan isu dalam kategori ketiga, yang mungkin mencetuskan keresahan sehingga menambat langkah "15%" Melayu ini daripada menyokong PR. Beliau mengakui bahawa selama ini UMNO-BN berkuasa untuk mendominasi ruang wacana, sehingga PR terheret dan terpaksa menjawab setiap serangan yang dilontarkan. Situasai hanya diterbalikkan apabila muncul isu BERSIH 2.0, yang memberi tekanan kepada UMNO-BN.

Menurut analisa Liew Chin Tong, senario terkini memperlihatkan majoriti bukan Melayu menyokong PR, malah beliau dengan yakin menjangkakan keadaan 50-50 dalam masyarakat India, meskipun dikatakan pengundi India telah kembali ke pangkuan BN setelah gelombang HINDRAF menyurut. Liew Chin Tong mengingatkan, sokongan itu sukar dikembalikan seandainya peralihan undi (dari BN ke pembangkang) itu disebabkan "kesedaran".

Dalam situasi sedemikian, Liew Chin Tong menganggap seandainya PR mampu meyakinkan "15% Melayu" di atas, maka pertukaran kerajaan peringkat persekutuan boleh berlaku. Justeru itu, persoalannya bukan sama ada DAP mampu menang kerusi di kawasan majoriti Melayu dalam PRU 13, tetapi adakah lebih 50% masyarakat Melayu menerima DAP sebagai komponen dalam kerajaan baru, sebagaimana masyarakat Cina menerima PAS sebagai komponen dalam kerajaan baru?

Melayu bukan "kampung" sahaja

Keyakinan Liew Chin Tong disokong dengan statistik berikut. Pada tahun 1957, hanya 11% populasi rakyat tinggal di bandar; angka ini melonjak kepada 35% pada tahun 1980; dan kini, 70% daripada populasi rakyat menduduki kawasan bandar. Chin Tong berkata, sesungguhnya 65% kerusi parlimen berada dalam kawasan kampung, namun hakikat di sebaliknya, tidak begitu ramai yang tinggal di kawasan perkampungan.

"Di Semenanjung (Malaysia), tiada lagi kampung yang tulen," katanya, sambil mendefinasikan "kampung" sebagai kawasan yang jauh dari bandar, jauh dari sistem kapitalisme yang berdagang dengan wang tunai. Komuniti yang mampu membela binatang ternakan, berkebun untuk memenuhi keperluan makanan diri sebegini hampir lenyap di Semenanjung Malaysia, katanya.

Malah Chin Tong menambah, jurang antara "kampung" dengan "bandar" semakin menyempit, tidak lagi terasing sebagaimana beberapa dekad dahulu. Perhubungan dan pengaliran manusia antara desa dengan bandar, perkongsian maklumat yang berlaku telah mengubah wajah "kampung" yang kita kenali dahulu.

Strategi untuk mengurung UMNO

Bagaimanapun, Liew Chin Tong yang pernah dilantik sebagai Penasihat Strategi Pilihan Raya kepada Lim Guan Eng ketika PRU12, menganggap parti komponen PR, khususnya PAS dan PKR mengambil strategi "kawal dengan menyerang" terhadap UMNO, ketika cuba menembusi kawasan kampung dan FELDA.

"Anda sebenarnya mencelarukan langkah percaturan musuh anda, apabila menyerang dan mengusik musuh anda di medan lawan. Pada masa yang sama, kubu anda selamat," ulas Chin Tong.

Sebelum ini, Liew Chin Tong antara yang menganjurkan pandangan bahawa medan pertarungan PRU 13 sebenarnya di "pertengahan", berdasarkan keputusan PRU 12. BN dan PR masing-masing mempunyai lebih 50 kerusi parlimen yang menang dengan undi majoriti kurang daripada 10%. Dengan kata lain, seandainya berlaku peralihan lebih 10% pada PRU 13, gandingan politik yang meraih sokongan itu akan menjadi kerajaan persekutuan.

Namun, pilihan raya kecil yang berlangsung selepas PRU 12 menyaksikan bagaimana PR menghadapi kesukaran di perkampungan, khususnya kawasan FELDA. Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada Januari 2011, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim tidak menyelindung keresahannya ketika berdepan dengan kawasan pedalaman Melayu (Malay rural heartland), sambil mengakui ia sebagai "gelanggang pertarungan yang utama... dari segi angka, kerusi, dan isu".

Bagaimanapun, Chin Tong mengakui bahawa sama ada UMNO dan PR gagal terkeluar dari wacana yang lama, dengan mengandaikan "kampung sebegini" dan "bandar sebegitu". Beliau mendakwa PR masih belum mengenalpasti gelanggang baru, dan menerokainya. Malah, beliau mengingatkan bahawa mustahil UMNO kalah sehingga sifar kerusinya dalam PRU yang akan datang. Bertitik tolak dari situ, Chin Tong melontarkan soalan, di mana PR harus meletak sumbernya?

UMNO memerangkap diri

Pada masa yang sama, Chin Tong menganggap UMNO memilih untuk mengurung diri di medan perang sendiri, dengan serangan isu dalam kategori etnik dan agama. Beliau berkata, isu dalam kategori pendemokrasian politik dan ekonomi adalah medan perang utama PR, dan ia tidak membawa "nilai tambahan" seandainya PR kembali ke medan isu kaum dan agama.

Chin Tong berkata, UMNO yang terkurung di medan Melayu gagal keluar menerokai ruang yang baru, yang lama-kelamaan akan tersingkir dengan sendirinya. Memainkan isu Melayu pada hakikatnya mengasingkan UMNO-BN dari sokongan bukan Melayu, sementara strategi ini gagal menarik sokongan Melayu di bandar yang berdepan dengan masalah yang puncanya berasal dari pendemokrasian politik dan ekonomi. Mengapa UMNO terperangkap dengan jerat diri? Kerana tidak memahami secara mendalam perubahan masyarakat, demografi dan pengaliran manusia yang berlaku sekarang, ulasnya.

Chin Tong bersetuju, bahawa sistem yang sedia ada tidak menawarkan "insentif" agar pemimpin dan parti politik membebaskan diri dari takuk lama. Misalnya, dengan 65% kerusi parlimen di kawasan desa, sedangkan 70% populasi di bandar - parti politik terpaksa akur kepada realiti untuk menawan kawasan perkampungan. Untuk pembangkang pula, dengan struktur media yang mengekang, pemimpin PR tidak berani untuk melontarkan pandangan yang progresif, kerana diasak bertubi-tubi tanpa diberi ruang untuk menjawab di media arus perdana. Chin Tong menghargai usaha PAS yang tampil dengan idea "Negara Berkebajikan", sebagai langkah kembali mengukuhkan medan pertarungan dalam isu pendemokrasian politik dan ekonomi.

Wartawan membangkitkan pengamatan bahawa mungkin sesetengah di kalangan masyarakat Melayu termakan dengan propaganda UMNO bahawa PAS khususnya sering berganjak langkah untuk memberi laluan kepada DAP, apabila membuat pendirian bersama dalam isu kontroversi, misalnya penggunaan kalimah Allah - yang mana isu ini dijuarai PAS pada masa dahulu. Malah, timbul juga keresahan sesetengah pihak yang berharap agar persepsi tersebut dapat diperbetulkan, sehingga meminta agar DAP juga berganjak langkah dalam sesetengah isu.

Untuk ini, Chin Tong menganggap seandainya ketiga-tiga parti komponen PR terkurung dalam medan (etnik dan agama) yang didominasi UMNO - maka ketiga-tiganya adalah mangsa, kerana beliau tidak melihat PR boleh ke mana-mana seandainya hanya bertolak-ansur dalam kerangka yang ditetapkan UMNO.

Menanti-nantikan gelombang besar

Sebelum mengakhiri wawancara, Chin Tong meluahkan harapannya, agar pemimpin PR bersama memikirkan sesuatu yang melangkaui "kerusi". Apa yang kurang adalah "gelombang", atau "angin" dalam masyarakat Melayu, yang mana satu wacana besar dilontarkan, disahut dengan sokongan massa keseluruhannya - sebagaimana yang berlaku pada zaman Reformasi tahun 1998.

Beliau mengakui, agak susah untuk menggembleng sokongan massa dengan "perjuangan berlandaskan nilai", berbanding memainkan sentimen perkauman dan agama di kalangan masyarakat Melayu. Nilai demokrasi dan kebebasan mungkin sukar dibincangkan, namun Chin Tong menganggap nilai "keadilan" boleh diterima di kalangan masyarakat Melayu secara keseluruhannya.

Malah, pemimpin "generasi reformasi" DAP ini mencadangkan agar konsep "meritokrasi" digantikan dengan "solidariti", mewujudkan peluang yang saksama untuk semua. Menyedari keresahan sesetengah Melayu ketika membincangkan "meritokrasi", Chin Tong mencadangkan "solidariti", iaitu mereka yang berkemampuan membantu mereka yang lemah. Peluang yang saksama itu penting, katanya, mengambil contoh bagaimana pemandu teksi merungut - saya yang bekerja dari pagi sampai malam, namun anak Menteri pula menjadi kaya, hanya kerana mereka memegang lesen teksi?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia. Wawancara ini dijalankan pada 15 Disember 2011 di pejabat Liew Chin Tong.

Tiada ulasan: