HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Disember 2011

Saya tidak ada kaitan dengan PKR — Zaid Ibrahim

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Presiden parti KITA, Datuk Zaid Ibrahim menafikan kandungan satu surat layang kononnya beliau ada berbincang dengan Nurul Izzah Anwar untuk menyertai PKR semula.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang dakwaan ini sebab sejak meninggal PKR, saya tidak berhubung langsung dengan Nurul (Izzah Anwar) ke, Anwar (Ibrahim) ke atau pun Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah).

“Jadi jangan kaitkan saya, dia orang kena selesaikan lah sendiri masalah mereka,” kata Datuk Zaid Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Zaid (gambar) ditanya berhubung dengan satu surat yang disiarkan oleh beberapa blog kononnya Nurul Izzah berbincang dengan beliau untuk membawanya pulang kepada PKR semula.

Zaid dikatakan ditawar oleh Nurul untuk bertanding di Petaling Jaya Selatan.

Surat yang ditujukan kepada ahli PKR ini mengajak ahli PKR menyekat perancangan ini.

Blog-blog termasuk laman Malaysia Today menyifatkan surat ini dari musuh politik Nurul Izzah dalam PKR.

Ia ekoran nama Nurul Izzah disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

Menurut Zaid, apa yang difikirkan oleh beliau sekarang adalah untuk bekerja bagi memenangkan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini.

“Soal bertanding atau tidak tak timbul, yang penting Pakatan kena menang dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Zaid.

Zaid bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu sebelum ini menentang Azmin Ali dan Mustafa Kamil Ayub.

Namun beliau menarik diri selepas mendakwa berlaku salah urus dalam pemilihan tersebut.

Di tanya tentang perancangan dan masa depan beliau, Zaid berkata, “tengoklah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.”

Zaid juga berkata, dia hanya akan bertanding dalam pilihan raya ini jika ia menguntungkan Pakatan.

“Kalau dapat kukuh dan untungkan Pakatan, saya akan bertanding, jika rugikan saya rasa tidak perlulah saya bertanding,” kata Zaid lagi.

Tiada ulasan: