HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Disember 2011

UMNO selepas PRU : adakah UMNO akan jadi seperti George Foreman?

Oleh Aspan Alias


http://images.wikia.com/egamia/images/b/b6/George_Foreman_KO_Boxing.jpgDi mana-mana kita pergi kita kedengaran orang ramai bertanya di antara satu dengan lain. Pertanyaan wajib apabila mereka bertemu ialah, bila pilihanraya akan di adakan. Saya pun selalu juga ditanya soalan itu dan saya memberikan jawapan yang standard: bila BN akan kehilangan kuasa. Maksud saya bila-bila pun boleh tetapi keputusannya ialah UMNO dan BN akan hilang kuasa. Itulah dia tarikh pilihanraya umum.

Saya yakin yang UMNO itu akan akhirnya menghadapi realiti yang masa untuk parti ini berehat sudah semakin hampir tiba. Seperti orang yang bermain gasing; sudah tiba UMNO untuk mengambil giliran untuk memusing dan orang lain pula yang memangkah mereka. UMNO sudah memangkah begitu lama, kali ini biarlah orang lain pula untuk memangkah.

Apa yang UMNO patut membuat perkiraan, di antara 56 kerusi yang mereka menangi di Semenanjung ini berapa yang mereka masih mampu untuk mengekalkannya dan di antara 13 kerusi di Sabah berapa pula jumlah kerusi yang UMNO boleh kekalkan berada dalam tangan mereka. Bagi kerusi-kerusi MCA dan Gerakan serta MIC rakyat sudah membuat keputusan lebih awal sebelum pilihanraya sebenarnya di adakan. Patah-patahkan jari, kiralah sendiri.

Sabah dan Sarawak merupakan tempat pertarungan hebat politik selepas ini. Cerita Sabah dan Sarawak menjadi ‘fixed deposit’ BN sudah berlalu dibawa angin yang lalu. Rakyat di kedua-dua buah negeri ini nampaknya dengan deras sedang melakukan perubahan selepas menjalani ‘soul searching’ sejak beberapa ketika dahulu.

Di seluruh negara samada di Semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak angin untuk membawa perubahan itu sudah mula bertiup kencang dan tidak mudah untuk mengalihkan arah tiupan angin itu. Pendeknya perubahan itu akan tetap berlaku kerana angin itu semakin hari semakin kencang tiupannya.Apabila saya memikirkan nasib UMNO dan sekutu-sekutunya, saya teringat pula kepada pertarungan tinju di antara Muhammad Ali dan George Foremen lebih dari dua dekad dahulu.

Dalam pertarungan itu George Foreman telah jatuh kalau tidak silap saya dalam pusingan yang ke-lima. Apabila Foreman kalah dan jatuh secara knock out itu, media telah membuat interview dengan Foreman. Pemberita sukan telah bertanya kepada Foreman kenapa beliau tidak bingkas bangun setelah dijatuhkan oleh Muhammad Ali, Foreman menjawab, “Saya tidak boleh bangun lagi kerana saya tidak pernah jatuh rebah”

Adakah UMNO akan menghadapi nasib seperti George Foreman? Saya tidak tahu jawapannya. Kita tengok sahaja apabila sampai waktunya. Saya bukan seorang wali atau aulia untuk memberikan jawapannya. Jika saya tahu pun jawapannya biarlah jawapan itu berada di dalam benak saya sendiri.

Tetapi saya pernah menulis dan membuat anologi yang ahli-ahli UMNO itu ibarat ayam daging peliharaan. Ayam daging jika dilepaskan di luar kandang mereka tidak boleh mencari makan sendiri dan akhirnya menjadi kurus dan mati. Ayam daging ini tidak ada kerja lain selain dari mematuk makanan siang dan malam yang diberikan oleh tuannya. Apabila sudah sampai 40 hari ayam ini menjadi gemuk dan akan di bawa dengan lori untuk disembelih dan dagingnya akan dijual di pasar-pasar di seluruh negara untuk dimasak kari dan kurma serta rendang tetapi dagingnya lembik dan cepat hancur.

Tetapi ahli-ahli PAS dan pembangkang yang lain, mereka itu ibarat ayam kampung, mampu mengutip dan mencari makan sendiri. Itulah sebabnya dagingnya mahal….sekarang ayam kampung harganya RM13 sekilo…..itu pun harga sebelum di sembelih dan di bersihkan. Ayam kampong ini tinggi nilainya.

Tunggu dan lihat sahaja samada UMNO akan menjadi seperti peninju George Foreman dan menjadi seperti ayam daging tadi.

Tiada ulasan: