HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Disember 2011

Mahasiswa ulangi tuntut Najib mansuh Auku

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Rentetan daripada perhimpunan kebebasan akademik serta isu penurunan bendera Datuk Seri Najib Razak oleh seorang mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Adam Adli, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengambil pendirian untuk mengadakan satu lagi himpunan bersama rakyat pada 31 Disember 2011 hingga 1 Januari 2012 bermula jam 9 malam.

Menurut Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Khairul Naim, mahasiswa akan berkumpul bersama rakyat di hadapan UPSI bagi mengulangi enam tuntutan mahasiswa iaitu mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Akta 174 dan Akta 155, bebaskan ilmuan berakademik, bebaskan mahasiswa bersuara, bebaskan mahasiswa mengurus pilihan raya kampus, bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti kampus serta bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik.

Katanya, mahasiswa masih menunggu segala tuntuan kebebasan mahasiswa tempoh hari.

Selain itu, ujarnya himpunan besar-besaran itu juga diadakan bagi menuntut supaya UPSI menggugurkan tuduhan ke atas pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif serta penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli yang mencetuskan kontroversi berikutan kes penurunan bendera Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Katanya, ia berikutan surat yang dikeluarkan pihak universiti itu yang mendakwa Adam di bawah dua pertuduhan iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

“Ancaman apa yang dimaksudkan itu tidak pasti, yang kami tahu kedua-dua pertuduhan ini adalah tidak berasas, tidak berpelembagaan, tidak sah dan jelas serta tidak masuk akal,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan Adam Adli itu sebenarnya dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini.

UPSI, kata beliau sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menghalang Adam supaya menjalankan hak sivil beliau sebagai warganegara.

Adam telah menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin universiti pada 23 Disember gara-gara tindakannya pada 17 Disember yang lalu.

“Mahasiswa sentiasa berdiri bersama-sama Adam Adli kerana kami percaya tindakannya adalah sah dan demokratik malah wajar dipuji kerana mempunyai pendirian supaya masyarakat memahami serta celik tentang isu sebenar yang melanda iaitu kegagalan pihak kerajaan sekarang dalam kebebasan berakademik serta kegagalan memansuhkan Auku,” ujarnya.

Justeru, katanya SMM menggesa supaya UPSI menggugurkan segala pertuduhan ke atas Adam Adli serta menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan dalam akademik dengan memansuhkan Auku serta memenuhi enam tuntutan mahasiswa bagi memastikan taraf universiti sebagai tanda aras ketamadunan masyarakat terjamin.

Tiada ulasan: