HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Januari 2012

Hasan : Pas Dah Jadi Parti Pak Turut, Maruahnya Di Pijak Parti Komponen PR

Post Pic



SHAH ALAM : Maruah Pas sebagai parti Islam dipijak dan diburukkan lagi dengan tindakan pimpinannya menjadi ‘Pak Turut” apabila menerima keputusan yang menafikan parti itu portfolio hal ehwal agama Islam dalam Exco Kerajaan Negeri Selangor, kata Datuk Dr Hasan Ali.

“Rombakan ini telah memberi satu tamparan yang hebat kepada imej dan kedudukan PAS di dalam kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Rombakan tersebut menggambarkan yang Adun PAS yang ada dilihat tidak layak dan tidak berkemampuan untuk memikul portfolio penting yang telah saya pikul sebelum ini,” kata Hasan dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

“Sekali lagi masyarakat melihat PAS terpaksa menjadi pak turut kepada parti komponen Pakatan Rakyat yang lain,” tambah bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Hasan menjadi Exco Agama, Adat Melayu, Kemudahan Awam dan Infrastruktur sejak tahun 2008 sehingga digugurkan minggu lalu susulan pemecatannya dari pada Pas pada 8 Januari.

Rabu lalu, pimpinan Pas bersetuju Adun Sijangkang dari parti itu Dr Ahmad Yunus dilantik menggantikan Hasan namun portfolio Hal Ehwal Agama, tidak diberikan kepada beliau, tetapi disandang oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid juga mengambil alih tugas Exco untuk Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Yunus hanya diberikan portfolio menjaga Adat Melayu, Belia dan Sukan.

Hasan yang masih menjadi Adun Gombak Setia menyifatkan Yunus sebagai calon Exco terbaik kerana ikhlas serta seorang yang “tidak mudah diresapi oleh pengaruh golongan parasit di dalam parti.”

Hasan berkata keputusan Khalid tidak memulangkan portfolio hal ehwal agama kepada Pas tidak boleh dipertahankan . Begitu juga, keputusan Pas untuk menerima tindakan Menteri Besar itu tidak boleh dibela, tambah beliau.

“Saya masih ingat pesanan dan amanat Tuan Guru Presiden sewaktu penubuhan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor pada tahun 2008 yang lalu, telah meminta saya dan kepimpinan PAS Selangor pada waktu itu memastikan portfolio agama di pegang oleh PAS dan PAS mesti mempertahankannya,” kata beliau.

“Sayangnya dengan rombakan yang terbaru ini, maruah PAS sebagai sebuah parti Islam telah di pijak. Lebih menyedihkan apabila kepimpinan PAS Selangor sekarang ini dilihat redha dengan rombakan tersebut malah menyanjung tinggi keputusan tersebut tanpa sebarang bantahan,” kata beliau.

Dalam kenyataan itu, Hasan juga menzahirkan rasa khuatir kepentingan bumiputera di Selangor semakin terpinggir dengan tindakan baru Khalid melantik dua orang pagawai khas bukan Pas untuk membantu tugas beliau dalam portfolio infrastruktur dan kemudahan awam.

Mereka adalah Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd V. Ganabatirau.

Hasan berkata perlantikan mereka yang menyusul kenyataan Exco Selangor Dr Xavier jayakumar bahawa kontrak Kelas F di Selangor tidak lagi dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera menimbulkan isu-isu serius mengenai masa depan peniaga Melayu.

“Saya khuatir apabila memikirkan masa depan kontraktor-kontraktor bumiputera terutamanya kelas F yang terkial-kial mencari rezeki di bumi Selangor,” kata beliau.

“Lebih-lebih lagi YB Xavier pernah mengatakan bawah kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuka luas penyertaan projek-projek yang dimajukan oleh kontraktor kelas F dibuka kepada semua kaum. Walhal kelas F sejak dari awal penubuhannya adalah dikhususkan untuk bumiputera,” tambah beliau.

Hasan digugurkan sebagai Exco Kerajaan Negeri sebelum tamat tempoh untuk beliau merayu keputusan itu kepada Majlis Syura parti pada 7 Febuari.

Beliau mendakwa pemecatannya daripada Pas didalangi oleh kumpulan parasit tertentu yang mahu mengubah hala perjuangan Islam parti itu.

Hasan juga mendakwa beliau dipecat kerana parti itu tunduk kepada tekanan Parti Keadilan Rakyat setelah beliau mengkritik sebuah perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena dengan keputusan mahkamah mengenai kes liwatnya.

Semua tuduhan itu dinafikan oleh Pas.

Naib Presidennya Mahfuz Omar menggelar Hasan sebagai Ketua Parasit yang tidak lagi mendokong perjuangan parti itu.

Tiada ulasan: