HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Februari 2012

“1Penjagaan 1Malaysia” tidak akan membebankan pembayar cukai, kata kementerian kesihatan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Konsep kesihatan “1Penjagaan 1Malaysia” tidak akan memberikan beban kos yang tidak wajar kepada pembayar cukai, Kementerian Kesihatan berkata dalam satu kenyataan hari ini, menurut Bernama.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata perbincangan sedang diadakan mengenai aspek kewangan serta implikasi kewangan ke atas kerajaan dan pembayar cukai.

“Justeru itu sebarang andaian atau sangkaan mengenai kesan kewangan ke atas individu pembayar cukai, pada peringkat ini adalah terlalu awal,” Dr Hasan berkata dalam kenyataannya, mengikut laporan Bernama.

Dr Hasan berkata bahawa kos penjagaan kesihatan akan terus meningkat naik dan kementerian itu sedang mengambil langkah proaktif untuk memastikan bahawa beban kos penjagaan kesihatan tidak melampau.

Konsep “1Penjagaan 1Malaysia”, yang pertama kalinya dibentangkan pada Ogos 11, 2009, bertujuan memberikan semua rakyat Malaysia satu pelan kesihatan komprehensif.

Dr Hasan berkata bahawa Kementerian Kesihatan telah merangka kertas konsep serta membentuk 11 kumpulan utama teknikal dan jawatankuasa untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk konsep ini.

Tiada ulasan: