PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan meneruskan projek Jambatan Gantung Putrajaya yang dihentikan pada 2004.
Beliau berkata projek itu perlu diteruskan kerana pusat pentadbiran Persekutuan tersebut kini berdepan masalah kesesakan lalu lintas, terutama sebelah pagi dan petang pada waktu puncak.
Dr Mahathir berkata 'hanya sedikit sahaja lagi kerja' yang perlu dilakukan bagi menyiapkan projek itu kerana kerangka asasnya, iaitu jambatan gantung dan terowong untuk monorel, telah ada.
"Saya tak rasa kos (menyiapkan monorel dan jambatan gantung) akan menjadi begitu tinggi jika kerajaan sanggup menyediakan sejumlah dana sebagai bantuan, sektor swasta pasti akan tertarik untuk melakukannya.
"Mungkin juga operasi dan penyiapannya boleh diswastakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Rekaan Seni Bina Putrajaya Holdings di sini, Rabu.
Beliau berkata jika sektor swasta terpaksa membina dan mengendalikan projek itu, ia akan menjadi mahal serta tidak menguntungkan.
Mengenai Putrajaya, Dr Mahathir mencadangkan beberapa elemen baru disuntik bagi memastikan pusat pentadbiran itu, terutama Putrajaya Boulevard akan lebih meriah pada waktu malam.
"Pejabat kementerian di Putrajaya Boulevard ditutup pada pukul 5 atau 6 petang dan selepas itu, tempat tersebut mati meskipun amat cantik dengan cahaya lampu.
"Jika anda berhasrat menghidupkan Putrajaya Boulevard, maka anda perlu mempunyai pembangunan komersial," katanya.
Dr Mahathir mencadangkan tingkat bawah pejabat kementerian diubah suai menjadi kedai dan tempat pejalan kaki bagi menarik pengunjung.
"Jadikan ia mudah untuk menjalankan perniagaan dan orang ramai akan membanjiri kawasan itu serta menghidupkan Putrajaya Boulevard," katanya.
Putrajaya, yang diilhamkan Dr Mahathir, menjadi Wilayah Persekutuan ketiga Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Labuan pada 2001.
Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Rekaan Seni Bina Putrajaya Holdings.
Sejumlah 96 pelajar dan graduan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil bahagian dalam pertandingan yang bertujuan mempromosi elemen rekaan berasaskan kehijauan dalam perancangan bandar serta menggalakkan kreativiti di bidang rekaan seni bina selain mendapat idea daripada generasi muda dalam mewujudkan kerancakan dalam bandar.
Ahmad Askaree Dzharuddin, pemenang konsep terbaik bagi 'rumah mampu milik alternatif' membawa pulang wang tunai RM7,000 manakala Tengku Inda Syazwi Tengku Zubir dan Anwar Fader memenangi tempat kedua serta ketiga, masing-masing menerima hadiah RM5,000 dan RM3,000. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan