Ketua polis daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata, polis masih perlu mendapatkan kenyataan daripada seorang imam, Hoslan Hussin, berhubung siasatan ke atas kes membaling kasut ke arah hakim Mahkamah Persekutuan minggu lalu.
Katanya, polis cuba menghubungi Hoslan (foto) melalui telefon dan turut mengunjungi rumah imam berkenaan hari ini namun belum tidak berjaya mengesan lelaki tersebut.
"Kita masih berusaha cari dia. Kita pergi ke rumah dia, dia tak ada di rumah. Bila kita telefon, dia letak bila dia tahu polis yang telefon," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Polis setakat ini telah mendapatkan keterangan jurubahasa dan juga anggota polis yang bertugas di mahkamah ketika kejadian itu berlaku, katanya.
Tambahnya, polis juga telah mendapatkan rakaman video litar tertutup (CCTV) mahkamah ketika insiden tersebut berlaku.
"Kita akan semak sama ada (rakaman itu) akan dapat membantu atau tidak," katanya lagi.
Selain itu, polis juga perlu mendapatkan kenyataan peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang turut hadir dalam sesi mahkamah ketika insiden itu berlaku pada 21 Februari lalu, katanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu, peguam berkenaan Zulkifli Che Yong mengesahkan bahawa polis telah menghubunginya dan beliau akan memberikan kenyataan berhubung kes tersebut.
Polis menyiasat kes membaling kasut itu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang tugas penjawat awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan