HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Mac 2012

Yayasan Selangor : Maafkan Kami, Kami Boros Tahun 2010

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki mengakui yayasan itu boros membelanjakan lebih satu juta ringgit pada tahun 2010, termasuk untuk majlis makan dan peraduan memancing ikan.

Beliau akur Yayasan Selangor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menghabiskan RM1,414,348 untuk aktiviti yang tidak membawa sebarang manfaat untuk kebajikan pelajar di Selangor, khususnya yang dibiayai yayasan itu.

"Yayasan Selangor mengakui kelemahan perbelanjaan yang banyak ini merugikan. Ia lebih baik digunakan untuk kepentingan para pelajar yayasan." kata beliau kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

"Ini adalah kelemahan-kelemahan tatacara kewangan yang ada di Yayasan Selangor, bukan di bawah saya saja tapi sebelum-sebelum ini pernah berlaku. Pembetulan telah dibuat sejak awal tahun 2011. Saya mengaku dan bersetuju, ini adalah satu amalan kurang sihat," tambah beliau.

Pada November 2010, Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah membatalkan keberangkatan ke majlis jamuan tengahari anjuran Yayasan Selangor kerana dukacita dengan kosnya yang terlalu tinggi.

Baginda menyifatkan jumlah perbelanjaan sebesar itu bagi majlis makan tengahari sempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan Yayasan Selangor sebagai pembaziran.
Tan Sri Abdul Khalid ketika itu mendakwa beliau tidak tahu kos majlis itu begitu tinggi walaupun menjadi Pengerusi Yayasan Selangor, sehingga ditegus oleh Sultan Selangor.

Ilham dilantik sebagai Pengurus Besar Yayasan Selangor di atas persetujuan Khalid.

Susulan teguran Istana itu, satu audit dalaman mendedahkan pelbagai kepincangan dalam Yayasan Selangor. Ilham bagaimanapun terus dikekalkan manakala timbalannya dibuang kerja.

Di bawah teraju Khalid dan Ilham, Yayasan Selangor membelanjakan lebih setengah juta ringgit untuk sambutan Ulang tahun ke-40 yayasan itu.

Ini termasuk jamuan makan malam perdana bernilai RM270, 750, pertandingan memancing, (RM179,000), cenderamata (RM52,900) dan lain-lain perbelanjaan berkaitan (RM396,370).

Yayasan Selangor juga membelanja RM 167,400 untuk majlis buka puasa di Dewan Sivik MBPJ pada 21 Ogos 2010, RM 330, 476 untuk majlis jamuan Aidilfitri pada 4 Oktober 2010 dan RM 44,452 untuk majlis korban perdana sebulan kemudian.
Ilham memberitahu Selcat hari ini bahawa Yayasan Selangor mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki urus tadbir kewangannya dan berjanji untuk tidak mengulangi menganjurkan acara-acara sebegini.

Pendengaran awam Selcat hari kedua dipengerusikan oleh Speaker Dewan Undangan Selangor Datuk Teng Chang Kim yang dibantu oleh tiga Adun Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: