DETIK DAILY
KUALA LUMPUR: PAS sememangnya semakin kuat sekarang sehingga disokong oleh pelbagai golongan, bangsa dan agama kerana perbezaannya dengan parti lain dengan bertunjangkan kepimpinan ulama. Konsep kepimpinan ulama sememangnya amat diperlukan oleh parti Islam yang berjuang atas dasar untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di muka bumi ini kerana dengan itulah yang membolehkan parti itu terus utuh dengan dasar perjuangannya, tidak hanya terarah kepada matlamat kebendaan dan mengejar pangkat.
Pelakon, pelawak, penulis lirik dan pengacara terkenal, Mohd Hakim Lokman atau Bob Lokman berkata, konsep kepimpinan ulama amat perlu difahami, dihayati dan dipertahankan oleh setiap pemimpin dan ahli-ahli PAS bagi membolehkan kesemua pihak berjuang atas matlamat yang sama dan tidak terseleweng dihempas pelbagai cabaran yang semakin sengit.
“Kemasukan golongan artis ke dalam PAS memang semakin memperkuatkan lagi PAS dari segi luaran atau jenamanya, tetapi trend yang berlaku dalam PAS sekarang turut membimbangkan saya apabila golongan artis turut didewa- dewakan.
“Kalau setakat memuliakan tak apa sebab memuliakan itu berbeza dengan mendewa-dewakan. Selain itu, saya juga bimbang jika ada pemimpin PAS yang turut mengutamakan kebendaan dan mengejar pangkat kerana jika ini berlaku akan menyebabkan mereka itu tidak berbeza dengan para pemimpin Umno-BN,” katanya ketika dihubungi 19 Disember lalu. Menurut beliau, kemasukannya ke dalam PAS bertolak dari hasratnya untuk mencari pendinding untuk kehidupan dunia dan akhirat sejajar dengan perjuangan PAS yang berjuang di atas perkara yang benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan