HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Disember 2012

Pekida akan terus pertahan kedaulatan Melayu


SINAR HARIAN
Ali Rustam
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam 
 
NIBONG TEBAL - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan terus mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air daripada dirosakkan oleh mana-mana pihak, kata Presidennya Jamaludin Yusof.

Beliau berkata sebagai sebuah pertubuhan yang diwujudkan atas dasar Melayu dan Islam, sudah pasti kedua-dua dasar berkenaan menjadi pegangan utama dan akan diperjuangkan sampai bila-bila.

"Pekida mempunyai misi dan visi tersendiri iaitu menegakkan Islam dan memastikan bangsa Melayu terus menjadi tunjang negara. Kita akan terus mempertahankan agama, bangsa dan negara walaupun terpaksa berjuang hingga ke titisan terakhir.

"Justeru kita sebagai anggota (Pekida), kita mempunyai tugas yang berat untuk pastikan kestabilan politik negara dikekalkan supaya negara akan terus aman dan damai," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Pekida Malaysia ke-18 yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di sini hari ini.

Jamaludin berkata sehingga kini keanggotaan Pekida sudah menjangkau kira-kira 300,000 orang dan jumlah itu sangat penting dalam menguatkan pertubuhan itu dalam memperjuangkan matlamat penubuhannya.

"Pekida mempunyai anggota yang ramai dan kita sedang mencari formula bagaimana untuk menyatukan kesemua anggota supaya perjuangan kita mencapai matlamatnya.

"Kita tidak mahu satu hari nanti kita terpaksa menangis di belakang pintu disebabkan oleh kegagalan kita untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara kita sendiri," katanya.

Jamaludin turut menyeru semua anggota pertubuhan itu agar terus menyokong kerajaan sedia ada yang sudah terbukti banyak membantu membangunkan syiar Islam selain mempertahankan keistimewaan orang Melayu sejak negara merdeka hingga kini.

"Hanya kerajaan yang ada sekarang ini akan terus memberikan kemakmuran, kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat. Jadi, saya minta semua anggota Pekida agar terus menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang ini agar semua yang diperoleh sekarang ini berterusan untuk anak cucu kita," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: