Mohd Sayuti Omar
RENUNGAN
Sabtu ini - 12 Januari ini akan berlangsung Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR). HKR adalah kesinambungan kepada Bersih
1, 2, dan 3. Ia adalah kemuncak kepada manifestasi kebangkitan rakyat
untuk menuntut satu pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.
Keperluannya begitu besar sekali tanpa pilihan raya yang adil dan bersih
maka kepimpinan yang lahir menerusi proses ini selamanya tidak bersih
dan membawa imej dan sifat kepimpinan sejati.
Perlu disedari sesuatu yang lahir dari sistem yang tidak bersih, ia
akan menatijahkan hasil yang tidak baik. Saya beranologi, macam mana
kita mengharapkan akan lahir anak ayam dari telur itik. Seribu kali
telur itik itu diram oleh ibu ayam, ia tetap melahirkan anak itik kerana
‘gen’ itik berada dalam telur itu.
Nah begitulah juga dengan
sistem atau proses melahirkan pemimpin mestilah dari proses dan sistem
yang betul dan baik barulah lahir pemimpin yang suci murni berjiwa
besar dan akan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara
dengan adil dan bersih.
Kenapa banyak kepincangan berlaku di dalam negara kita hari ini,
sebabnya bukan lain kerana negara dipimpin oleh mereka yang tidak lahir
dari sistem atau proses yang suci. Pilihan raya kita dipenuhi dengan
strategi dan taktik penipuan. Pemnimpin yang ada hari ini tidak ubah
seorang anak yang lahir dari hasil persundalan kedua orang tuanya. Sifat
buruk, keji yang dimiliki oleh kedua orang tuanya sedikit sebanyak
menurun kepada anaknya.
Himpunan itu mulanya dirancang akan
berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pihak penganjur telah pun
membuat permohonan tetapi hingga saat ini tiada kelulusan yang
diberikan. Dua hari lepas wakil penganjur berkunjung ke pejabat stadium
berkenaan untuk bertanya khabar mengenai status permohonan mereka tidak
ada seorang pun pegawainya keluar menemui wakil berkenaan.
Sikap kurang mesra pegawai stadium itu, sebenarnya kurang ajar,
membayangkan bahawa tidak akan ada kebenaran dari pihak muzium untuk
menjadikan stadium itu venue himpunan berkenaan.
Di mana venue
himpunan itu dijangka akan diketahui tengah hari ini. Berdasarkan sikap
dolak dalih pihak kerajaan sebelum ini saya percaya Stadium Merdeka
itu tidak akan dibenarkan untuk dijadikan tapak himpunan. Sekali lagi
pihak stadium akan menjadikan soal permit sebagai alasan seperti mana
DBKL menjadikan alasan tidak ada permit untuk mereka tidak membenarkan
Dataran Merdeka menjadi tapak protes duduk dan bantah yang tidak lama
dulu.
Ketidaksediaan memberi permit ini adalah sebahagian dari
tanda-tanda kelemahan dan kenazakan kerajaan UBN itu sendiri. Jadi ia
tidak aneh dan pelik lagi sebab sikap itu menjadi tanda-tanda
kehancuran yang jelas . Sedar atau tidak, negara ini tidak ada
kebebasan. Penguasa politik negara ini mencekik darah sesiapa saja demi
menyelamatkan kuasa. Transformasi yang dilaungkan oleh Najib Razak
hanyalah laungan yang tidak sedikit pun memberi makna.
Tidak
mengapa, sama ada himpunan itu ada permit atau tidak, ia tidak perlu
jadi persoalan dan alasan untuk tidak hadir. Sebelum ini dalam beberapa
siri himpunan yang diadakan tidak pernah pun mendapat permit. Permit
hanya diperuntukkan tetapi tidak pernah dilaksanakan. Namun ternyata
himpunan berjaya. Puluhan ribu keluar menggabungkan diri menyatakan
protes dan menzahirkan perasaan terhadap apa yang diingini. Walaupun
ditangkap dan didakwa namun rakyat tidak pernah serit. Walaupun dipukul
dan dilakukan berbagai penganiayaan terancang, rakyat tidak merasa
menyesal, gerun dan serik. Bahkan ketiadaan permit itu dianggap sebagai
lesen besar untuk hadir.
Sekatan untuk rakyat berhimpun
seperti hari kebangkitan rakyat itu sudah tidak dapat dihalang dan
disekat lagi. Rakyat sudah jadi gila dan hilang kewarasan dalam
menerima larangan yang tidak berasas. Hujah kerajaan menghalang
himpunan sudah tidak munasabah lagi. Setiap apa yang berlawanan dengan
naluri rakyat adalah satu keputusan yang dianggap gila oleh rakyat.
Atas maksud dan tujuan seperti disebut di atas tadi semua rakyat yang
cintakan terlahirnya pemimpin yang bersih, adil dan bertanggungjawab
perlu menyertai HKR Sabtu ini. Ia adalah penting dan menjadi klimaks
kepada perubahan yang ditunggu menjelang pilihan raya umum nanti.
Senario yang berlaku 12 Januari nanti akan menjadi petanda dan gambaran
awal apakah keputusan pilihan ke-13 kelak. Dari situ akan mencerminkan
apakah UBN atau kuasa zalim, penindas dan kolot akan tumbang atau
terus tegak atas kerusi kekuasaan.
Suka disebut tuntutan untuk
melahirkan proses pilihan raya yang adil dan bersih ini bukan hak
pembangkang saja, tetapi ia adalah hak semua rakyat negara ini. Kalau
kebetulan UBN masih menang setelah dibersihkan apa yang tidak bersih
dan diperbetulkan apa yang tidak betul (adil) itu, ini bermakna rakyat
akan mendapat pemimpin yang diidam-idamkan. Bukan bererti pemimpin yang
bersih dan adil nanti datangnya dari pihak Pakatan Rakyat. Bertolak
dari maksud dan nawaitu tidak ada sebab untuk sesiapa juga menolak
acara berkenaan.
Justeru setiap rakyat negara ini yang
cintakan kedamaian, tidak kira cenderung kepada mana-mana ideologi,
PAS, Umno, DAP, MIC, MCA, PKR dan lain-lain yang berazam membuang
kotoran kekuasaan yang ada harus hadir bagi menyatakan sokongan dan
menggabungkan semangat mempertahankan hak. Jangan mengira himpunan itu
milik siapa tetapi apa yang perlu difikirkan maksud dan tujuan himpunan
itu adalah untuk Malaysia.
Perjuangan menegakkan kebenaran, keadilan dan hak bukan milik sesuatu kelompok tetapi milik semua antara kita.
Usah gentar dan takut sama-samalah memaknakan hidup kita ini yang
asalnya dari nasak perjuangan. Jangan jadikan diri kita sebagai tunggul
kayu tempat segala macam haiwan, unggas bertengek dan membuang najis di
atas yang bisa diperlakukan apa saja oleh UBN.
Kita adalah manusia, kita adalah rakyat. Ayuh...ayuh... bangkit! [wm.kl.8:18 am 09/01/13] - http://msomelayu.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan