HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Januari 2013

Hapus mula kempen kutip tandatangan

Mohd Sabri Said,


(Aktivis Hapus berkempen bantah tol Pulau Pinang dengan berkhemah)

 SEBERANG JAYA: Ngo Hapuskan Tol Pertama Jambatan Pulau Pinang (Hapus) berjaya mendapatkan 2000 tandatangan orang ramai untuk membantah tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) melanjutkan tempoh konsesi kutipan tol dari tahun 2018 kepada 2038.

Selain mendapatkan kutipan tandatangan pihak Hapus juga berkhemah sebagai tanda protes terhadap langkah kerajaan yang menindas rakyat sedangkan kutipan telah pun melepasi keuntungan.

Sebelum itu Hapus diberikan peluang untuk berucap di pentas utama bersama beberapa orang kepimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kepimpinan parti yang bergabung dengan Pakatan Rakyat.

Wakil Hapus, Ustaz Rizal sempat menceritakan betapa pentingnya penentangan terhadap usaha yang memudaratkan rakyat.

"Hapus tetap berjuang sampai dapat apa yang rakyat hajatkan.  Sudah sampai masanya tol jambatan dihapuskan sebab ianya menyusahkan semua pihak, " ujarnya ketika menyampaikan ucapan di slot NGO sempena Perhimpunan Impian Rakyat yqng diadakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya semalam.

Bukan sahaja kutipan tandatangan dan berkhemah, Hapus juga menjual baju dan topi di mana hasil dana itu akan digunakan untuk kegiatan pada masa depan.

Sementara itu, Pengerusi Hapus, Zolkiply Md Lazim (gambar kiri) menambah, kegiatan Hapus akan diperluaskan untuk memahamkan masyarakat bahawa tol jambatan seharusnya dibatalkan sekarang sebagaimana yang berjaya dilaksanakan terhadap Jambatan Yahya Petra di Kelantan serta Jambatan Kuala Terengganu.

"Selepas ini kita akan menafaatkan masa yang ada untuk menerangkan kepada rakyat keseluruhannya supaya sama-sama membantu agar Kerajaan BN tidak berlaku zalim. Tapi kalau Pakatan Rakyat memerintah saya yakin ia akan dihapuskan," ujarnya.

Tiada ulasan: