SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini
mengulangi kenyataan bahawa lafaz ALLAH merupakan kalimah suci yang
khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh diguna atau
disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu telah
diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei
2008.
"Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan
sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap
kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan
undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,"
katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Othman berkata, kalimah ALLAH merupakan kalimah suci yang perlu dijaga
dan berkait dengan akidah dan oleh itu umat Islam perlu peka dan
bertanggungjawab dalam isu ini.
Katanya, sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut
semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya
akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama Islam, umat
Islam dan rakyat Malaysia.
"Semua pihak seharusnya memaklumi bahawa kes berkaitan penggunaan
kalimah ALLAH yang bermula pada tahun 2009 yang lalu masih belum selesai
dan masih dalam peringkat rayuan ke Mahkamah Rayuan.
"Oleh yang demikian membicarakan isu berkaitan sama ada penganut
Kristian Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah 'Allah' dalam
bible Bahasa Melayu dilihat seolah-olah mendahului mahkamah sendiri dan
bersifat 'subjudis'", katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia bertanggungjawab memberi sepenuh
kebebasan kepada mahkamah untuk membuat penghakimannya dan Jakim
berpegang kepada semangat patuh kepada undang-undang sedia ada iaitu
biarlah mahkamah membuat keputusan yang benar-benar adil dan mengambil
kira keharmonian semua kaum dan agama di negara ini.
Katanya, tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan pendapat sendiri
dan mendahului mahkamah dan mengkucar-kacirkan keharmonian antara kaum
dan agama demi meraih keuntungan politik sempit amat dikesali.
Justeru, Jakim menggesa semua pihak supaya kembali menghayati semangat
kedaulatan undang-undang yang dilaung-laungkan selama ini untuk
memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara dan
dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Semua pihak harus menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang
bermatlamat untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama,"
katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan