Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pagi ini menyerahkan memorandum menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memohon maaf atas kecuaian mereka berhubung masalah air.
Memorandum tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan di ibu pejabatnya, di Jalan Pantai Baru, dekat sini kira-kira jam 11 pagi tadi.
Turut bersama Zuraida, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan wakil persatuan penduduk Ampang, Cheras dan Pandan.
“Syabas, terutama Pengerusinya, Datuk Rozali Ismail perlu meminta maaf secara terbuka kerana kerosakan yang berlaku. Ia meliputi kegagalan rumah pam (di Wangsa Maju) berfungsi dan kelewatan mengambil tindakan untuk mengagihkan air berpunca dari kecuaian serta kesilapan Syabas sendiri,” katanya pada sidang media.
Ketua Wanita KEADILAN itu turut menyatakan lima tuntutan lain termasuk penjelasan terperinci Syabas berhubung krisis air melibatkan 60,000 penduduk sekitar Ampang.
“Kami juga menuntut penjelasan Rozali mengapa krisis air yang dikatakan boleh ditangani dalam beberapa hari kini akan berlarutan sehingga Tahun Baru Cina,” katanya.
Justeru, beliau menuntut Rozali agar memaklumkan pelan tindakan Syabas bagi membantu rakyat untuk menempuh krisis air tersebut sehingga tempoh yang dinyatakan.
“Sebagai pembekal air tunggal di Selangor, kami ingin jaminan dari Syabas perkara ini tidak akan berulang,” katanya menjelaskan tuntutan keempat.
Tuntut Syabas beri pampasan
Akhir sekali menurut Zuraida, Syabas sepatutnya menyalurkan pampasan atau dana khas bencana kepada warga Ampang yang terjejas dengan ketiadaan air sejak dua minggu lalu.
“Mereka terlibat adalah yang berpendapatan sederhana dan rendah. Dengan ketiadaan air, ramai terpaksa makan di luar malah ada yang hanya makan biskut berhari-hari kerana tiada wang untuk makan di kedai,” jelasnya.
“Hampir 20 peratus dari penduduk Ampang merupakan penduduk flat kos rendah. Berikutan krisis itu hampir 15,000 ke 20,000 terpaksa mengikat perut,” kata Zuraida yang juga Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan