HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mac 2013

Dibubar atau terbubar, rakyat harus bertenang

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini, Perdana Menteri masih tidak mengisytiharkan tarikh pembubaran kabinet meskipun Negeri Sembilan kini tidak lagi memiliki kerajaan berdaulat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana kerajaan negeri itu telah expired date mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Perlembagaan negara.

Menurutnya, Perdana Menteri tidak menunjukkan sebarang riak yang meyakinkan untuk membubarkan kabinet dalam masa terdekat biar pun pelbagai ramalan tarikh oleh banyak pihak, semuanya tidak tepat bahkan salah serta hampa.

Selepas ini, ujarnya Pahang pula akan terbubar pada tanggal 7 April jika Menteri Besar tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam tempoh seminggu ini.

“Sekiranya Perdana Menteri masih berdegil, tidak mahu membubarkan Parlimen Malaysia bagi mengambil mandat baru rakyat dalam tempoh yang ditetapkan, bukan sahaja kerajaan negeri akan expired date malah Kerajaan Persekutuan juga akan menjadi kerajaan expired dan ini meluruhkan moral serta maruah kerajaan Umno dan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, moral, maruah dan kredibiliti ‘kerajaan expired’ adalah sangat teruk, bukan sahaja pada mata dunia tetapi pada mata rakyat sendiri.

Katanya, ‘kerajaan expired’ adalah kerajaan yang tiada keyakinan diri terhadap kemampuan mereka meraih mandat baru daripada rakyat.

“Kecualilah Umno dan BN mempunyai agenda tersembunyi sehingga terpaksa mengambil risiko kerajaan mereka tamat tempoh.

“Persoalannya apakah agenda tersembunyi itu? Wallahua'lam, saya sendiri tidak mengetahuinya,” katanya lagi.

Namun beliau mengharapkan ia bukanlah peluang berhidang atau helah bermadah untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang dan etika demokrasi.

“Pun begitu, diharapkan rakyat bertenang. Mahu tidak mahu kerajaan ini akan dibubarkan atau terbubar,” ujarnya.

Tiada ulasan: