HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 April 2013

4,586 pengundi Lembah Pantai guna alamat tidak lengkap diragui


Oleh Arif Juhani

LEMBAH PANTAI : Seramai 4,586 pengundi membabitkan 254 alamat sekitar Parlimen Lembah Pantai dianggap meragukan kerana menggunakan alamat tidak lengkap dalam senarai daftar pemilih.

Calon KEADILAN Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, dalam senarai itu, semua alamat tersebut tidak lengkap walaupun kawasan rumah terlibat bukan kawasan setinggan.

“Terdapat tiga kategori pengundi yang meragukan dalam rekod kami. Pertama, ada tiga nama pengundi yang sudah lama meninggal dunia masih diletakkan dalam senarai pemilih.

“Selepas kami mengadukan perkara ini kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), barulah nama itu dikeluarkan daripada senarai.

“Kedua, seramai 133 pemilih mengundi di sini tetapi anehnya, alamat dalam kad pengenalan mereka bukan di sini.

“Dan ketiga pula adalah senarai daftar pemilih yang meragukan yang sedang kita bincangkan sekarang,” ujar Naib Presiden KEADILAN itu pada sidang media di Bilik Gerakan KEADILAN di Jalan Kampung Pasir hari ini.

Isu ini menjadi hangat apabila Umno BN Lembah Pantai menghasut sekumpulan penduduk berdemonstrasi sebagai membantah tindakan Nurul Izzah yang mahu SPR menyiasat dan menghapuskan senarai nama pemilih kerana menggunakan alamat yang meragukan.

“Ini satu salah faham dan Umno BN cuba mengambil kesempatan menghasut penduduk setinggan membenci kita, walhal alamat yang kita maksudkan bukan kawasan setinggan tetapi kawasan yang membangun,” jelas Nurul Izzah.

Sementara itu, Ketua Penerangan KEADILAN Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, KEADILAN tidak dapat menerima senarai daftar undi tidak lengkap seperti itu, kerana senarai tersebut diperolehi dengan dibeli.

“Contohnya kita membeli kereta tetapi tanpa tayar, tentulah ini merugikan kita. Itulah juga keadaannya dengan senarai ini. Alamat yang dibekalkan tidak lengkap, jadi macam mana kita nak buat kerja tinjauan kawasan dari rumah ke rumah.

“Itulah juga sebabnya kita menyaman SPR dan JPN pada 26 Mac lalu. Walaupun ditolak, kita akan usaha buat rayuan sedikit masa nanti,” kata Fahmi

Tiada ulasan: