HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 April 2013

Bayang hospital pun tak nampak di Rembau

Norutul Ilham

REMBAU: Jangankan hospital, bayangnya pun tidak nampak di Rembau sejak Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat janji itu pada Pilihan Raya Umum 2008, kata Calon KEADILAN Radzali A Ghani.

Hingga kini, BN gagal mengotakan janji membina Hospital berkenaan, meskipun upacara meletakkan batu asas telah dilakukan oleh Khairy menjelang PRU 2008.

“Bukan kita tidak suka ada hospital di Rembau, tetapi BN sebenarnya bohong. Janji mereka tidak ditepati, tetapi tuduh kita hanya pandai berjanji. Dari situ rakyat akan sedar mereka sebenarnya dibohongi BN,” katanya yang akan menjadikan isu itu sebagai bahan kempen utama.

Pada PRU ini, Radzali akan bertemu Khairy yang dicalonkan semula oleh BN dan seorang lagi calon Bebas, Abdul Aziz Hasan.

Selain isu pembinaan hospital, katanya, KEADILAN juga akan memperjuangkan isu Adat Perpatih dan Tanah Adat yang akan ditumpukan di kawasan-kawasan DUN.

“Matlamat saya ingin mengembalikan warisan Adat Perpatih dan jadikan Rembau antara tempat warisan kerana di sini dulu wujudnya ketuanan beraja, lagipun ia dekat dengan Melaka. Sekurang-kurangnya boleh bangunkan Rembau menjadi tempat bersejarah,” ujarnya yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau.

Mengulas lanjut katanya, 15 hari kempen yang diperuntukan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu pengundi bagi menerangkan manifesto Pakatan.

“Gerak kerja sudah kita jalankan, setiap hari ada ceramah kelompok yang mendapat sambutan di luar jangkaan walaupun masuk kampung kuat Umno.

“Saya yakin dengan sambutan ini terutamanya daripada orang muda yang bersama akan menumbangkan BN kerana mereka yakin dengan kemampuan Pakatan,” katanya yang pertama kali menjadi calon dalam pilihan raya.

Tiada ulasan: