HALAMAN SANTAI
Ahad, 21 April 2013
Dr M sokong pemecatan calon bebas kerana parti lebih penting daripada calon
Dr Mahathir berjanji kepada rakyat sekiranya kerajaan dipimpin Najib tidak mengotakan janjinya dalam manifesto yang dibentang, beliau sendiri akan membuat bantahan dan melawan kerajaan. - Gambar failALOR STAR — Ahli Barisan Nasional (BN) yang bertanding bebas perlu dipecat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad sambil menegaskan parti adalah lebih penting daripada calon yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Dr Mahathir berkata tindakan ahli BN yang bertanding bebas adalah kerana sikap mementingkan diri sendiri berbanding parti.
“Bukankah ia suatu yang merugikan apabila dipecat? Kalau kita sabar, tunggu sekejap, mungkin boleh jadi calon lagi, tapi kalau kena pecat dah tak dapat jadi calon.
“Kalau kita kacau, siapa sahaja dari BN yang bertanding bebas akan dipecat,” kata bekas perdana menteri negara tersebut pada majlis bersama Pemuda BN negeri Kedah di Mergong di sini.
Dr Mahathir berkata semua ahli parti perlu menerima keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak dan memberikan sokongan padu bukannya membantah dengan bertanding bebas.
“Najib pilih calon, tak perlu kata apa lagi lah. Sokong sahajalah,” katanya lagi dihadapan kira-kira 300 penyokong BN yang hadir.
“Parti mesti menang, bukan calon sahaja. Kalau parti tidak menang, macam mana mahu bentuk kerajaan,” tambahnya lagi.
Sesi penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei depan menyaksikan beberapa kerusi ditandingi lebih dari dua penjuru, malah ada antaranya sehingga enam dan tujuh penjuru.
Kebanyakan calon bebas itu adalah pemimpin daripada parti yang tidak diletakkan dalam senarai calon.
Antaranya termasuklah Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Selain itu, bekas timbalan menteri Umno, Datuk Seri Mohd Shariff Omar turut bertanding di Parlimen Tasek Gelugor sebagai calon bebas.
Timbalan Ketua Umno Cawangan Felda Adela Mohd Azaman Johari turut bertanding atas tiket bebas di Parlimen Pengerang.
Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berjanji kepada rakyat sekiranya kerajaan dipimpin Najib tidak mengotakan janjinya dalam manifesto yang dibentang, beliau sendiri akan membuat bantahan dan melawan kerajaan seperti pernah dilakukannya pada pilihan raya 2008 lalu.
“Kalau kerajaan pusat tidak buat, beritahu saya.
“Kalau mereka tak tunaikan janji, saya sendiri akan turun tibai (lawan) mereka,” kata Dr Mahathir yang disambut dengan sorakan “Hidup Tun”.
Sejumlah lebih kurang 13.3 juta pemilih berdaftar akan membuang undi dalam pilihan raya kali ini.
Ahli politik daripada parti pemerintah BN dan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) bertarung merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun pada Pilihan Raya 2013, 5 Mei depan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan