HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 April 2013

Pemuda Umno ‘merajuk’ kerana hanya mahu kuasa dan habuan- Chegu Bard

Oleh: Ruqayya Rahman

KUALA LUMPUR : Pemimpin Umno tidak ikhlas memperjuangkan dan membela nasib rakyat, sebaliknya hanya mahukan kuasa dan habuan jika menang pilihan raya, kata Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini yang meminta anggota sayap itu agar tidak ‘merajuk’ sekiranya tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13.

“Umno BN tak faham nilai perjuangan, berbeza dengan KEADILAN. Mereka ingat kalau masuk parti mesti nak bertanding, pegang jawatan,”

“Paksi politik Umno BN adalah kuasa dan habuan, sebab tu bila dengar saya istihar jadi jentera, mereka pelik dan tak faham,” katanya ketika dihubungi.

Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard baru-baru ini mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU kali ini, sebaliknya menggerakkan jentera untuk  menumbangkan Umno BN.

“Saya cuba memberi signal kepada seluruh legasi anak muda, bersekutulah menjatuhkan kezaliman, tidak kira sebagai orang parti atau tidak.

“Mungkin Khairy tak faham signal itu dan ingatkan saya lembik dan suka merajuk macam pemuda Umno,” katanya sinis.

Beliau dalam pada itu mengingatkan kisah yang berlaku di zaman Saidina Umar, apabila panglima Khalid Al Walid tidak dihantar ke medan perang, sedangkan namanya disebut-sebut sebelum itu.

“Saya tidak sebaik dan sehebat panglima Khalid, namun saya yakin, jika beliau ada hari ini, beliau akan fahami saya, sebab semangat kami sama. Semangat yang takkan ada dalam Umno,” katanya.

Chegu Bard berkata, isu utama bukan samada dicalonkan atau tidak, tetapi fokus untuk menumbangkan Umno BN yang disifatkan sebagai legasi penjajah.

“Anak muda sudah buktikan kita telah turun ke jalanan, kali ini kita ke pilihan raya pula. Jadilah apa sahaja, yang penting kita bekerja, ini peluang terbaik untuk kita jatuhkan Umno BN yang dah banyak berdosa pada rakyat Malaysia,” kata Chegu Bard

Tiada ulasan: