HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 April 2013

Taib Mahmud jadikan SPRM keldai tunggangan – Ketua AMK Sarawak

Oleh: Aedi Asri

SARAWAK : Keengganan Tan Sri Abdul Taib Mahmud disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menunjukkan  ketua menteri Sarawak itu mahu menjadikan SPRM sebagai keldai tunggangan.

Ketua Angkatan Muda Sarawak (AMK), Ahmad Nazib Johari merujuk kenyataan Abdul Taib hari ini, mengatakan tidak akan bekerjasama dengan SPRM berhubung satu video yang didedah oleh NGO antarabangsa, Global Witness.

Rakaman video berkenaan sebelum ini membongkar skandal pembalakan melibatkan keluarga Taib dan bagaimana keluarganya merampas tanah pedalaman yang didiami rakyat miskin Sarawak.

Bagaimanapun, memetik Malaysiakini, Abdul Taib hari ini menyifatkan SPRM ‘tidak layak’ mendapatkan kerjasamanya, dan mendakwa badan itu bertindak ‘nakal’ dan ‘tidak jujur.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazib berkata, SPRM selaku badan autoriti dalam kes tersebut, sepatutnya menyiasat Taib memandangkan beliau menjadi ‘watak utama’ dalam video berkenaan.

“Abdul Taib adalah orang paling utama yang disebut dalam video. Jika beliau tidak disiasat, maka pendakwaan tidak dapat dibuat. Ini seolah-olah SPRM jadi keldai tunggangannya sahaja,” katanya yang turut menyifatkan Taib sangat angkuh kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Beliau merasakan dirinya berkuasa penuh di Sarawak, dialah raja, dialah Tun…Undang-undang di tangannya,” katanya lagi ketika dihubungi.

SPRM pada 20 Mac lalu mengesahkan siasatan dijalankan ke atas maklumat video tersebut yang antara lain merakam percakapan ahli keluarga Taib dan rakan perniagaannya yang menyalahgunakan lesen pembalakan untuk memperkayakan diri mereka.

Suruhanjaya itu dilapor turut menjalankan serbuan ke atas pejabat seorang peguam yang dikaitkan dalam video terbitan NGO antarabangsa itu

Tiada ulasan: