HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 April 2013

Tiada NGO guna dakwat kekal SPR untuk sabotaj hari mengundi, kata Abdul Aziz

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH — Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menafikan ada pihak tertentu sedang bergerak dan mencalit jari pengundi menggunakan dakwat kekal SPR, kononnya sebagai latihan menjelang hari pengundian 5 Mei ini.

Katanya perkara itu hanya khabar angin dan SPR tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti sedemikian.

“Lagipun warna sebenar dakwat kekal yang akan digunakan hanya diketahui pada hari mengundi. Ini bagi memastikan tidak ada pihak mengeksploitasi penggunaan dakwat kekal,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai desas-desus ada pihak yang mendakwa diri mereka badan bukan kerajaan, mendekati dan mencalit jari pengundi dengan dakwat kekal kononnya atas tujuan latihan, tetapi sebenarnya untuk mensabotaj proses pengundian.

Mengenai tindakan parti politik yang dikatakan memberi tiket penerbangan kepada pengundi khususnya di Sabah dan Sarawak untuk membolehkan mereka balik mengundi, Abdul Aziz berkata perkara itu tidak dianggap rasuah jika diberi tanpa syarat.

“Jika tiket penerbangan itu diberi untuk membolehkan seseorang itu balik mengundi tanpa syarat, tanpa sebut undi apa atau undi siapa, itu okay.

“Kalau ada syarat, dapatkan bukti sebanyak mungkin dan lapor kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai bahan kempen berbentuk seluar dalam atau 'spender' yang dipasang di Baling, Kedah melanggar peraturan pilihan raya dan perlu diturunkan, Abdul Aziz berkata perkara berkenaan hanya boleh dilakukan oleh pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR).

“Kalau ada aduan daripada orang awam mengenai poster atau kain rentang yang berbaur fitnah, memalukan individu atau menjatuhkan imej calon, PP-KPR akan berbincang dan kemudiannya membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menurunkan bahan kempen tersebut,” katanya.  

PP-KPR ini diketuai seorang pegawai yang dilantik SPR, wakil PDRM yang sekurang-kurangnya berpangkat inspektor, wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil parti atau calon yang bertanding di kawasan berkenaan, katanya. — Bernama

Tiada ulasan: