HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Jun 2014

Kenapa PAS tiada ikon orang muda?

Oleh Shahbudin Husin


Pilihanraya kecil Teluk Intan menyerlahkan pentingnya mencari ikon yang disukai dan diminati oleh golongan muda. Tindakan DAP meletakkan Dyana Sofya yang baru berusia 27 tahun dengan penampilan yang menarik dan berpendidikan telah menjadikan beliau suatu fenomena bukan saja di Teluk Intan tetapi juga di seluruh negara di mana semua orang memperkatakan tentang dirinya.

Menyedari bahawa zaman sekarang adalah zaman orang muda, keperluan memenuhi kehendak mereka adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Dalam pilihanraya umum lalu, daripada lebih 11 juta pengundi, 40 peratus daripadanya adalah yang dikategorikan sebagai pengundi muda iaitu berusia 45 tahun ke bawah.

Menjelang pilihanraya umum ke 14 pada tahun 2018 nanti, dijangkakan kira-kira 5 juta lagi pengundi baru yang pertama kali membuang undi akan terlibat. Ini menjadikan pilihanraya ke 14 nanti akan menjadi getir kepada mana-mana parti yang tidak dapat memenuhi selera orang muda.

Siapakah ikon orang muda? Selera pengundi muda selalunya tidak lari daripada mahukan pemimpin yang juga muda, berani, berpendidikan, bijak, ada visi dan mempunyai penampilan menarik.

Di dalam PKR misalnya, mereka telah ada Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Shamsul Iskandar, Chegu Bard dan beberapa yang lain. Malah Azmin Ali, Saifuddin Nasution, Tian Chua, Sim Tze Tzin dan Mustapha Kamil Ayub juga boleh dikategorikan sebagai pemimpin muda lagi. Pelapis keduanya pula ialah Adam Adli, Fahmi Fadzil, Najwan Halimi serta ramai lagi.

Secara mudahnya PKR sentiasa sarat dengan pemimpin muda yang berani dan sering ke depan menonjolkan diri.

DAP juga ramai pemimpin muda yang menjadi perhatian. Ong Kian Ming, Liew Chin Tong , Tony Pua, Zairil Khir Johari, Nga Kor Ming, Ramkarpal dan beberapa yang lain adalah pemimpin muda yang menjadi pertaruhan parti itu. Penonjolan Dyana Sofya di Teluk Intan menambahkan lagi ikon orang muda dalam DAP.

Di dalam gabungan PR, hanya PAS yang belum terlihat ada pemimpin muda yang boleh diangkat sebagai ikon. Meskipun Pas ada Nasharuddin Tantawi, Nik Abduh, Suhaizan Kayat, Mohd Khalil Abdul Hadi dan Mohd Nasaie misalnya, tetapi mereka ini tidak begitu menonjol kepada golongan muda. Mereka ini mungkin hanya dikenali di kalangan ahli Pemuda Pas saja tetapi tidak menjadi perbualan di kalangan orang muda yang tidak berparti.

Dalam masa yang sama, walaupun pemimpin Pas yang lain seperti Husam Musa dan Sallahuddin Ayob juga masih boleh dikategorikan sebagai pemimpin muda tetapi mereka ini pula lebih diterima oleh kalangan yang lebih berusia berbanding orang muda.

Menjelang pilihanraya ke 14 nanti dan semua pihak pula menyedari pentingnya menonjolkan pemimpin muda yang disukai dan boleh diterima oleh golongan tersebut, terlihat bahawa hanya PKR dan DAP yang serius ke arah itu. Di dalam kedua-dua parti itu sudah tersedia ikon golongan muda yang bakal menambat hati pengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

PAS pula agak ketinggalan. Walaupun PAS juga mempunyai ramai penyokong orang muda terutama di pusat pengajian tinggi serta melalui program usrah dan keagamaan yang dijalankannya sejak sekian lama, kelompongan PAS hanyalah dari segi pemilihan pemimpin muda yang benar-benar boleh dianggap sebagai ikon.

PAS yang bersandarkan agama sebagai landasan perjuangannya hanyalah mempertaruhkah minat anak muda terhadap perjuangan Islam sebagai asas kekuatannya. Ia kurang bergantung kepada isu-isu semasa seperti penganjuran forum, seminar atau sesi bual bicara mengenai isu-isu semasa untuk menonjolkan pemimpin mudanya. Pemimpin muda Pas hampir tenggelam dalam isu-isu semasa yang melanda negara kerana ia lebih menjadi kekuatan kepada pemimpin seniornya seperti Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Sallahuddin Ayob dan Husam Musa untuk mempopularkan diri mereka.

Ini berbeza dengan PKR di mana banyak isu penting dalam negara diangkat oleh pemimpin mudanya seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan Chegu Bard. Begitu juga dengan DAP melalui Tony Pua, Ong Kian Min dan Sim Tze Tzin yang lebih kerap ke depan dalam hampir kebanyakan isu.

Mereka ini sudah dianggap ikon kepada isu-isu semasa dan menjadi kesukaan kepada golongan muda.

Malangnya Pas tidak bergerak ke arah itu. Dalam banyak isu, tidak kedengaran suara Nasharuddin Tantawi, Suhaizan Kayat mahupun Nik Abduh melontarkan nadanya. Malah Mahfuz Omar jauh lebih ke depan merangkul kebanyakan isu yang berlaku dalam negara. Ini menjadikan dalam PAS seolah-olah tiada ikon yang menjadi tarikan golongan muda.

Sebagai parti yang bergerak bersama-sama dengan PKR dan DAP untuk memberi cabaran lebih sengit kepada BN dalam pilihanraya akan datang, PAS seharusnya menyedari kepentingan mencari ikon ini sebagai pelengkap kepada perjuangan berlandaskan agama yang menjadi sandarannya.

Dengan DAP memilih Dyana Sofya sebagai calon mereka di Teluk Intan, PAS tentulah dapat melihat bagaimana gelombang minat dan sokongan orang muda itu datang dengan sendirinya. Kelebihan meletakkan seseorang yang boleh dianggap sebagai ikon ini seharusnya membuatkan PAS juga segera bangkit dan melakukan sesuatu untuk mencapai tujuan itu.

Dalam tempoh empat tahun lagi sebelum pilihanraya ke 14, masih belum terlambat untuk PAS mencari ikon orang muda untuk parti itu atau mengasah pemimpin mudanya yang sedia ada agar lebih agresif dan ke depan menonjolkan diri. Jika tidak, PAS akhirnya akan ketinggalan dalam merebut undi golongan muda ini dan akan membuatkan mereka juga tertinggal di belakang PKR dan DAP dari segi jumlah kerusi.

Shahbudin Husin merupakan bekas wartawan yang kini menulis bagi menjadikan Malaysia lebih baik untuk semua rakyatnya

(*)  Shahbudin Husin merupakan bekas wartawan yang kini menulis bagi menjadikan Malaysia lebih baik untuk semua rakyatnya

Tiada ulasan: