HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Jun 2014

Ustaz Ghani dalam kenangan


Oleh NASAIE ISMAIL




KETIKA diberitahu Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari bahawa nama saya hendak dicalonkan di Parlimen Masjid Tanah, itu cukup mengejutkan kerana saya akan menggantikan Ustaz Ghani yang uzur.Mulanya Mohamad Buruk, peguam syarie terkenal, dicadangkan sebagai pengganti.

Di tengah jalan, beliau pula keuzuran. Maka saya menggantikan. Teringat sebulan dua sebelum itu, kami berusrah di rumah Ustaz Ghani di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Sebelum mula usrah, beliau bertanya kepada kami, bagaimana cara kami berusrah sebelumnya. Salah seorang daripada kami menjawab, kita akan gilirkan setiap orang membentang satu topik, kemudian bincang bersama.

Lantas beliau berkata, itu bukan usrah. Itu majlis ilmu. Salah cara kami mengadakan usrah, katanya.

Tambahnya lagi, usrah itu ialah bagaimana kita berusaha untuk merapatkan ukhuwah sesama kita dengan apa cara sekalipun sehingga terbentuk tiga rukun usrah itu dalam diri kita.

“Itulah yang ana lalui dalam tarbiyah Ikhwan dahulu,” kata Allahyarham.

Ya. Ustaz Ghani antara tokoh PAS yang mendapat tarbiyah Ikhwanul Muslimin bersama Tuan Guru Presiden. Ketika Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke Madinah, Ustaz Ghani juga ke Madinah.
Tok Guru sambung pengajian di Mesir, dia juga ke Mesir.

Balik Malaysia beliau menyertai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai pensyarah.
Sepanjang berusrah dan memberikan ucapan, air matanya sentiasa mengalir.

Ketika Tuan Guru menziarahi beliau yang keuzuran, beliau menangis teresak-esak.

Maaf Tuan Guru. Dulu boleh turun padang bersama, sekarang tidak lagi. Sedih sungguh. Lalu Tok Guru memujuk beliau, sabar ustaz. Nabi sebut orang yang uzur, Allah beri pahala sebagaimana dia bekerja ketika sihat.

Minat mereka berdua sama iaitu memancing. Rumah Ustaz Ghani di Tanjung Bidara, betul-betul mengadap laut Selat Melaka.

Setelah menjadi calon, saya beberapa kali bertemu beliau.

Ustaz Ghani masih setia mengikuti perkembangan sepanjang masa. Bertemu di Masjid Solok Duku selepas solat jenazah Almarhum sahabat beliau, Tuan Haji Kasim bapa kepada Adun Bukit Baru.

Sambil menangis, beliau menasihati, “Tak sangka engkau ganti aku. Dulu kau usrah dengan aku.
Jagalah baikbaik Masjid Tanah. Usahalah kembangkan dakwah ini.”

“Ana dah berpuluh tahun berusaha, masyarakat jahil, tolak perjuangan Islam. Sekarang dah uzur, tidak mampu lagi,” ujarnya.

Beberapa malam sebelum penamaan calon, beliau menjemput semua pimpinan negeri yang menjadi calon ke rumahnya di Tanjung Bidara.

Ustaz Ghani berucap dalam tangisan. “Orang Kuala Lumpur bagi ana duit, ingatkan ana nak bertanding. Kau orang kongsilah duit ini untuk bekal pilihan raya. Aku dah tak mampu.

Sambungkan perjuangan,” linangan air matanya sentiasa mengalir tidak kira di mana.

Sebelum bermula konsert kesenian Bob Lokman, Mel Wings dan Man John di Dataran Tanjung Bidara, beliau memberi ucapan panjang menasihati penduduk supaya menerima Islam sebagai perjuangan.

Keluarlah daripada kejahilan. Berjalan ke hulu ke hilir dengan dipapah oleh isteri dan anakanak, beliau gagahkan diri untuk menziarahi anak buah yang bertugas akar umbi.

Kali terakhir pada hari mengundi PRU13 lalu, beliau hadir awal dan duduk di atas kerusi di hadapan Sekolah Kebangsaan Tanjung Bidara.

Ustaz Ghani merayu undi dalam keuzuran. Hasratnya satu, mahu penduduk kampungnya mengundi Parti Islam. Itulah perjalanan Ustaz Ghani Abdul Rahman.

Pejuang yang mulia, hatinya sangat halus dan cukup mudah mengalirkan air mata. Saya tahu, Adly Zahari tidak mudah membuat sebarang keputusan walaupun sudah menjadi Pesuruhjaya negeri.
Sebabnya kerana hormat kepada bekas PJ sebelumnya yang sangat dihormati iaitu Ustaz Ghani Abdul Rahman.

Dataran Tanjung Bidara menjadi saksi perjuangan Ustaz Ghani. Tanah beliau, yang diwakafkan menjadi markas PAS dan dibuka kepada penduduk untuk menggunakannya bagi tujuan rekreasi.

Sayangnya, binaan bangunan beliau telah dirobohkan oleh Majlis Daerah Alor Gajah ketika petugas PAS sibuk bertugas di Pendang ketika pilihan raya kecil ekoran kematian Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Ketika itu, orang yang mengarahkan dan mengetuai Majlis Daerah tersebut ialah bekas anak muridnya sendiri yang sekarang menjadi Ketua Menteri Melaka, Dato’ Idris Harun.

Doa sejahtera mengiringi murabbi yang mulia ke alam barzakh penuh kemuliaan. Al- Fatihah.

Tiada ulasan: