HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Jun 2014

Kisah adik Firdaus, pentingnya peranan komuniti

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kisah malang yang menimpa remaja OKU Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dikurung dan kebuluran di Nilai pada 21 Jun lalu.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof berkata orang yang paling dekat dengan remaja itu termasuk  bapa atau ibu saudara wajar bertangungjawab ke atas situasi Firdaus.

"Hendak salahkan orang luar sebenarnya mereka juga tidak tahu maklumat. Maknanya jika bapa saudara ada mereka boleh sampaikan maklumat remaja berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Keluarga terdekat perlu memainkan peranan, misalnya bapa saudara, dia adalah zuriat keterunan mereka, takkanlah tidak tahu," katanya kepada Harakahdaily.

Selain keluarga terdekat, katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang peranan jiran di dalam sesebuah masyarakat perlu dipergiatkan dan kepekaan mereka menghadapi suasana sekeliling.

Begitu juga peranan khariah masjid dan surau katanya sepatutnya mengambil berat golongan-golongan seperti anak yatim, OKU, orang sakit dan orang tua-tua.

"Sebab itulah kita ada zakat bagi mereka yang layak. Sistem Islam yang sudah teratur. Bahkan di dalam solat berjemaahn kita patut bertanya khabar antara satu sama lain,"katanya.

Tegasnya, yang paling penting adalah peranan kerajaan misalnya hospital yang mempunyai rekod kesihatan remaja berkenaan hendaklah membuat pemantauan.

"Difahamkan remaja berkenaan dilahirkan di hospital, maka mestilah ada rekod-rekod perubatan remaja berkenaan dan sudah tentu ianya di hubung terus dengan JKM," katanya.

Zailah tidak menafikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak ramai kakitangan untuk memantau satu persatu mereka yang OKU.

Namun katanya mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak yang OKU perlu mempunyai hubungan yang baik sama ada dengan pihak masjid ataupun jawatankuasa kampung bagi memudahkan maklumatnya dipanjangkan kepada JKM.

"Dalam hal ini kita tidak wajar menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya peranan keseluruhan masyarakat wajar dipergiatkan," katanya.

Pada 21 Jun lalu, anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Taman Semarak semasa operasi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) menemui Firdaus dalam keadaan tidak terurus.

Tubuhnya terlalu kurus dan kelihatan seperti mayat hidup, dipercayai akibat kekurangan zat makanan.

Lebih menyedihkan, bilik di mana remaja malang itu dikurung penuh dengan sampah, najis dan tanah.

Baju yang dipakai mangsa juga didapati sudah mereput akibat terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri sepanjang berada di situ.

Tiada ulasan: