HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Jun 2014

Paip pecah: Pulau Ketam, Sg. Lima terputus bekalan air

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dua kawasan iaitu Pulau Ketam dan Sungai Lima terputus bekalan air ekoran saluran paip di dasar laut sepanjang 18 kilometer pecah, maklum Syabas dalam satu kenyataan.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, kejadian paip pecah itu dilaporkan berlaku pada 21 Jun lalu di jajaran paip bersaiz 450mm, jenis High Density Polyethylene (HDPE).

Saluran itu menurut beliau membekalkan air bersih kepada 1,184 akaun pengguna di Pulau Ketam dan Sungai Lima.

Ketika ini kata beliau, pihak kontraktor dilantik sedang giat mengesan lokasi terbabit dengan menggunakan kaedah pengesanan (tracing).

“Berdasarkan pengalaman lepas, pengesanan lokasi kejadian paip pecah sukar dilakukan dan mengambil masa yang lama untuk dikenalpasti disebabkan keadaan semasa laut yang berlumpur," katanya.

"Setelah lokasi kebocoran dikesan, Syabas memerlukan tempoh sekurang-kurang seminggu untuk melakukan kerja-kerja pembaikan kerana kedudukan paip berkenaan berada jauh di dasar laut," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pelan tindakan kecemasan Wilayah Klang juga telah diaktifkan dan bantuan awal telah digerakkan.

Pihak Syabas katanya telah menyediakan 2,500 botol air mineral berkapasiti 5 liter setiap satu akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa untuk diagihkan kepada pengguna.

"Dalam masa yang sama turut membuka Pusat Perkhidmatan Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam, yang berfungsi sebagai pusat infomasi, bantuan bekalan air kecemasan dan interaksi terus dengan penduduk setempat dan juga wakil-wakil penduduk,” katanya. -

Tiada ulasan: