PUTRAJAYA: Pertubuhan Pribumi Perasa (PERKASA) hari ini mencabar
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk meletak jawatan kerana
gagal mempertahankan hak orang Islam.
Gani harus berbuat demikian dan digantikan dengan individu lain yang
agresif mempertahankan hak orang Islam, ujar beberapa pemimpin
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu.
Tambah mereka, Gani perlu meletak jawatan demi mengelakkan ramai lagi
orang Islam dimurtadkan, selain mahu kalimah Allah terus menjadi hak
eksklusif umat Islam.
Gesaan itu dibuat di hadapan Mahkamah Persekutuan ketika prosiding
permohonan Gereja Katolik memohon dibenarkan merayu keputusan Mahkamah
Rayuan yang melarang The Herald menggunakan kalimah Allah, berlangsung.
Naib Presiden PERKASA, Syed Omar Mansor ketika berucap memberitahu
akan menerima apa sahaja keputusan badan kehakiman pada hari ini.
"Kita akan pamerkan satu disiplin yang rakyat mahu lihat kononnya PERKASA satu badan rasis dan menentang undang-undang.
"Pagi ini kita nak tunjuk PERKASA penuh dengan disiplin. Apa pun
keputusan PERKASA tetap akan terima dengan hati terbuka. Apa pun
tindakan selepas ini kita serah kepada pucuk pimpinan," ujarnya.
Sejak awal pagi tadi, hampir 200 masyarakat Islam berkumpul di
perkarangan Istana Kehakiman bagi menyatakan sokongan terhadap keputusan
Mahkamah Rayuan yang melarang akhbar mingguan katolik itu daripada
menggunakan kalimah Allah.
Selain berselawat dan melaungkan "Allahuakbar", mereka turut membawa
sepanduk bertulis "Bersatu Demi Pertahankan Kalimah Allah" dan "Berjuang
Hingga ke Titisan Darah Terakhir".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan