PUTRAJAYA : Persatuan Peguam Muslim menggesa semua pihak sama ada masyarakat Islam atau bukan Islam agar menerima dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah gereja Katolik, The Herald.
Presiden persatuan itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keputusan
larangan itu bermakna tiada lagi rayuan yang boleh dilakukan selepas
ini.
"Keputusan majoriti ini diputuskan oleh tujuh panel hakim di mana empat tidak membenarkan dan tiga membenarkan penggunaannya.
"Ia membawa implikasi tidak ada sebarang rayuan lagi yang boleh dibuat oleh pihak gereja selepas ini.
"Ini bermakna keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang tidak membenarkan penggunaannya dikekalkan.
"Terdapat 28 persoalan yang dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan
yang membuat keputusan di bawah Seksyen 96, didapati tidak dipenuhi oleh
pihak pemohon bagi membolehkan rayuan mereka didengar," katanya kepada
para pemberita di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya sebaik sahaja
tamat bersidang.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh
hakim mencapai keputusan berdasarkan empat hakim menolak permohonan The
Herald manakala tiga lagi hakim membenarkan penggunaan kalimah dalam
terbitan mingguan gereja Katolik itu.
Selain Hakim Ariffin, turut membuat keputusan itu adalah Presiden
Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan
Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan
Sri Suriyadi Halim Omar
Keputusan itu sekali gus menetapkan kalimah Allah adalah kekal hak
eksklusif umat Islam sepertimana yang diputuskan Mahkamah Rayuan sebelum
ini.
Sementara itu, peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla turut menggesa
pihak kementerian yang berkaitan mengambil tindakan sewajarnya jika
pihak penerbitan gereja berkenaan masih berdegil menggunakan kalimah
Allah di dalam majalah The Herald.
"Sekiranya pihak berkenaan meneruskan penerbitan itu, maka pihak
berkuasa berhak mengambil tindakan undang-undang di abwah kementerian
masing-masing. Namun kami percaya pihak pemohon akan mengambil keputusan
yang tepat sebagai menghormati keputusan mahkamah," katanya.
Sidang Mahkamah Persekutuan yang bermula jam 9 pagi tadi menjadi
tumpuan sama ada ia akan membenarkan pendengaran rayuan Ketua Biskop
Gereja Roman Katolik terhadap penggunaan kalimah Allah.
Kemelut kalimah Allah bermula pada 2008 apabila Herald dilarang menggunakan perkataan itu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Gereja Katolik kemudian mencabar larangan itu dan keputusan Mahkamah
Tinggi pada 2009 berpihak kepada mereka yang membenarkan mereka
menggunakan perkataan itu dalam terbitan mingguannya.
Putrajaya membuat rayuan dan hasilnya Mahkamah Rayuan membatalkan
keputusan itu Oktober lalu selepas mendapati “Allah bukan perkataan
teras dalam ajaran Kristian”.
Mahkamah Rayuan juga menegaskan bahawa Menteri Dalam Negeri mengambil
tindakan tepat melarang penggunaan perkataan itu dalam Herald untuk
melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan