HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Mei 2016

43 kali sambut Hari Pekerja, gaji macam mana?

GDFG


SHAH ALAM – Sejak diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun 1973, 1 Mei telah diangkat sebagai Hari Pekerja atau Hari Buruh untuk menghargai khidmat, keringat dan penat lelah warga pekerja serta meraikan jasa dan bakti golongan ini.

Walau bagaimanapun menurut Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Sany Hamzan, meski sudah 43 kali sambutan Hari Pekerja disambut di negara ini, malangnya kenaikan upah atau gaji masih tidak setimpal dengan tanggungjawab yang digalas.

Sudahnya gaji yang diterima jauh ketinggalan di belakang, rakyat di negara ini dibebani pula dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Wajar diakui setiap pekerja telah berganding bahu berusaha dan menyumbang terhadap pembangunan negara menurut kemampuan dan bidang tugas masing-masing, demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Namun ironinya, saban hari, rata-rata warga pekerja terpaksa menempuh beban kerja yang bertambah sedangkan kenaikan upah atau gaji jelas tidak setimpal. Lebih diburukkan apabila gaji minima yang ditetapkan kerajaan langsung tidak berpadanan dengan keadaan hidup masa kini, malah tidak masuk akal terutama dalam konteks warga penduduk Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, rakyat perlu berjuang untuk menuntut apa yang diinginkan oleh masyarakat selama ini.

“Lantas sesuatu perlu dilakukan. 1 Mei adalah simbol perjuangan. Tidak sedikit mereka yang terkorban semata-mata ingin menuntut hak bekerja selama 8 jam dan dan penerimaan gaji bulanan.

“Dahulunya semua ini seakan-akan satu utopia yang tidak mudah digapai. Namun segalanya terealisasi hari ini. Kita percaya bahawa dengan semangat juang yang utuh, di samping faktor ilmu dan desakan perubahan, tiada tuntutan yang mustahil dalam kamus hidup kita,” katanya lagi.


Tiada ulasan: