HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Mei 2016

Baling Terus Diwarnai Ketidakseimbangan



 
Oleh A Kadir Jasin


SEMALAM, 1 Mei 2016 saya ikut sekumpulan profesional Melayu dari Lembah Klang dan Pulau Pinang buat kerja amal di Baling , Kedah.

Kita beri bantuan makanan seperti beras, telur, minuman coklat, biskut dan sardin kepada 150 keluarga miskin. Setiap sekeluarga menerima bahan makanan bernilai RM100.

Ini adalah projek yang ideanya dicetuskan oleh  Dr Mohammad Abdul Khalid, penyelidik sosioekonomi dan penulis buku "The Color of Inequality".

Dr Mohammad bersama seorang ibu anak lapan
Selain derma yang terdaya kami keluarkan, kami bergantung dan sangat-sangat terhutang budi kepada penderma dan penyumbang yang turut serta. Moga-moga Allah membalas amal jariah penyumbang sekalian.

Sejak kegiatan kemanusiaan marhaen ini dilancarkan sebulan lalu, Alhamdulillah kami telah berjaya membantu 550 keluarga miskin di Baling, Sik dan Padang Terap di Kedah. Hujung minggu ini, 150 keluarga lagi di Pokok Sena, Kedah akan dibagi bantuan.

Bagi saya, lawatan kembali ke kawasan pedalaman Baling sekali gus membawa kegembiraan dan kesedihan.

Sebanyak 550 keluarga miskin dapat bantuan
Gembira kerana dari pandangan mata kasar, Baling telah  berubah daripada apa yang saya temui pada 1969 tetapi sedih kerana di sebalik wajah pembangunan itu, kemiskinan kronik yang saya lihat dari jarak dekat antara tahun 1969 dan 1974 masih berlaku.

Jalan raya kelas dunia, hospital, Maktab Rendah Sains Mara, Kolej Komuniti dan sekolah di merata pelosok desa memberi gambaran bahawa Baling adalah sebuah “locale” – tempat istimewa – yang mewakili transformasi.

Dijemput makan kenduri kahwin anak Tok Imam
Tetapi apabila kita menyusur keluar dari jalan utama dan mengikuti lorong-lorong desa dan kebun kecil getah yang sedang dibakar kemarau panjang, kita akan bersua semula dengan Baling lama – Baling yang sinonim dengan kemiskinan dan penderitaan.

Pada tahun 1969  saya ke Baling bagi membuat laporan lawatan muhibah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan pada 1974 pula saya mengikuti lawatan Menteri Perusahaan Utama ketika itu, (Tun) Musa Hitam.

Tun Musa diberi tugas menyelesaikan masalah kemiskinan pekebun-pekebun kecil getah di Baling selepas tunjuk perasaan yang dikepalai oleh "Saudara" Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri) membantah kejatuhan harga getah.

Kemarau dan kejatuhan harga getah sangat membebankan
Tunku, Musa dan Anwar telah datang dan pergi, tetapi kemiskinan, kemelaratan dan ketidakseimbangan kronik masih kekal di sebalik tabir kemajuan dan perubahan.

Bagi profesional muda Melayu yang menjadikan saya orang tua mereka, sambil membuat projek kemanusiaan, mereka juga melalukan kajian sosioekonomi untuk kegunaan mereka sendiri dan mana-mana pihak yang ingin mendengar cerita mereka – cerita warna-warna ketidakseimbangan.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: