HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Mei 2016

Jika benar Azmin beri kata putus, hubungan PAS-PKR dalam bahaya

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Terdapat keretakan serius dalam hubungan politik PAS dan PKR jika benar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memberi kata dua kepada tiga Exco PAS supaya meletak jawatan, sekiranya parti Islam itu tetap mahu bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, 18 Jun ini.
 
Pada penganalisis Politik, Datuk Dr Firdaus Abdullah, Azmin berada pada kedudukan tertekan untuk merealisasikan hasrat Pakatan Harapan (PH) bertanding di Sungai Besar selain terdesak mencairkan hati PAS agar melepaskan kerusi Parlimen itu. 
 
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, antara pemimpin Pakatan Harapan yang dilihat selesa dan sering kali mempertahankan PAS dalam apa jua isu, sebelum ini.
 
"Komen MB sebagai seorang pemimpin PKR menunjukkan keretakan hubungan antara PAS dan PKR. Dan terdapat ketidaksesuaian pendapat menangani hal-hal yang seharusnya mereka mempunyai sepakat.
 
"Yang mendorong Azmin bercakap begitu adalah kerana beliau melihat penyertaan PAS akan menjejaskan harapan PKR," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Firdaus berkata demikian mengulas pengesahan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali bahawa Azmin memang memberi kata dua kepada tiga Exco PAS Selangor supaya meletak jawatan jika enggan melepaskan kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRK kali ini.
 
Khairuddin dilaporkan berkata demikian oleh portal Free Malaysia Today (FMT) pada Sabtu. Ujarnya pengesahan tersebut berdasarkan maklumat yang diterima pihak parti.
 
Exco Selangor, Zaidy Abdul Talib ketika dihubungi Antarapos sebelum ini tidak menafikan kata dua itu namun enggan mengulas lanjut.
 
Keadaan bertambah tegang apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu memberitahu PAS menutup segala pintu rundingan bersabit PRK.
 
Mengulas masa depan hubungan politik antara PAS dan PKR, Firdaus berkata dua parti ini mahu atau tidak terpaksa berbaik dan melupakan sengketa jika ingin meraih kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Untuk masa depan PKR, adalah lebih baik mereka berbaik dengan PAS. 
 
"Jika Azmin berhasrat membaiki keretakan itu, antara perkara yang patut Azmin lakukan untuk lebih memahami keinginan PAS dan jangan sampai Azmin mengikut telunjuk DAP," tegas Firdaus.
 
Umum mengetahui PAS kini berpatah arang berkerat rotan dengan bekas rakan sekutunya, DAP.
 
Hubungan PAS dan DAP terputus selepas masing-masing bercanggah pendapat berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan. Putus hubungan antara dua parti ini turut menyaksikan terkuburnya Pakatan Rakyat (PR).
 
 

Tiada ulasan: