HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Mei 2016

KECUALI JIKA BERANI ISYTIHAR KEMBALI BERSAMA PAKATAN PEMBANGKANG, PAS SEBAIKNYA DILUPAKAN SAJA

shahbudindotcom


Sementara Pas terus mendesak agar mereka diberi peluang bertanding satu lawan satu dengan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dalam masa yang sama banyak pihak juga bimbang terhadap lenggok perjuangan sebenar parti Islam itu sekarang ini.

Terbaru, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga ada kebimbangan yang sama bahawa jika hanya Pas yang dibiarkan berlawan tanpa disertai calon yang mewakili rakyat untuk menolak Najib Razak, ada kemungkinan ia akan menarik diri di saat-saat akhir dengan tujuan memberi kemenangan percuma kepada BN.

"Kita tidak hairan jika ini yang akan dilakukan oleh Pas.

"Hadi Awang nampaknya sudah terima "cash is king"  Najib walaupun dunia menganggap beliau pemimpin yang kuat rasuah," kata Tun Mahathir dalam tulisan di blognya.

Hakikatnya, kebimbangan dan ketidakpercayaan massa terhadap Pas yang dipimpin oleh Hadi Awang adalah sesuatu yang sudah merata di mana-mana. Pas tidak lagi dilihat seperti Pas yang dahulu, malah Hadi Awang yang dulunya tidak lekang dengan perkataan taghut, kafir assabiyah dan seumpamanya terhadap UMNO dan BN, kini dilihat sudah berubah hampir 180 darjah.

Sebaliknya kini, ungkapan terbiasa dilafazkan Hadi Awang ialah barua, mencerca Amanah, memusuhi DAP mirip seperti UMNO, malah disertai dengan perkataan seperti "babi DAP" sedangkan sebagai ulama dan pemimpin dalam masyarakat berbilang kaum, ungkapan seperti itu tidak seharusnya dilafazkan terhadap pihak lain, jika benar ingin bersama-sama menyingkirkan Najib

Lagi pun DAP adalah parti berbilang kaum yang mana orang Melayu dan Islam, selain ramai menjadi ahlinya, turut ada yang terpilih sebagai Ahli Parlimen juga.

Jadi wajarkah DAP dilabelkan sedemikian rupa?

Berbalik kepada pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, keinginan Pas yang tidak mahu Pakatan Harapan turut meletakkan calon seharusnya tidak dilayan sama sekali.

Pakatan Harapan tidak perlu tunduk kepada PAS, kecuali jika parti itu secara terbuka mengisytiharkan kembali kepada pakatan pembangkang atau setidak-tidaknya berani mengatakan ingin sama-sama parti-parti pembangkang untuk menumbangkan BN dan tidak lagi dapat menerima kepimpinan Najib yang penuh masalah dan skandal itu.

Yang beria-ia mengatakan Pas ingin menumbangkan UMNO dan BN hanyalah Tuan Ibrahim Tuan Man serta beberapa pemimpin kecilnya yang lain sahaja, sedangkan Hadi Awang dan Dr Haron Din, dua individu yang lebih berkuasa menentukan hala tuju parti Islam itu, tampaknya cukup selesa dan "tidak geli apa-apa"  berdampingan erat dengan Najib yang sedang dicemuh di seluruh dunia.

Selagi Pas dan Hadi Awang masih kekal dengan pendirian serta wataknya seperti sekarang, Pakatan Harapan mesti terus meletakkan calonnya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ini kerana Pakatan Harapan adalah parti sebenar yang membawa imej menolak Najib secara total.

Malah, sebagaimana yang pernah ditulis dalam blog ini sebelum ini, jika benar ingin bersama-sama memberi tekanan kepada Najib, PASlah yang harus bertolak ansur dan berkompromi dengan Pakatan Harapan, bukannya terus berdegil dan seolah-olah tiada tolak ansur dalam kamus perjuangannya.

Jika Pas tidak berani membuat perisytiharan terbuka, merekalah kacau daun sebenar yang mungkin mempunyai maksud tersirat ingin memanjangkan lagi hayat politik Najib.

Jangan lagi dilayan pemintaan agar Pas saja yang layak dan sesuai bertanding di Kuala Kangsar dan Sungai Besar seolah-olah ada dalil Tuhan atau hadis sahih yang mengatakan demikian.

Lupakanlah episod  bersama Pas dan sebaiknya Pakatan Harapan lebih menumpukan kepada kekukuhan ikatan sesama anggotanya dengan imej dan iltizam yang lebih kental untuk menyingkirkan Najib, menumbangkan BN dan menyelamatkan negara ini kerana rakyat sebenarnya sentiasa membuak-buak dengan perasaan itu.


Tiada ulasan: