Pasukan penyelidikan ekuiti, JP Morgan Asia hari ini menurun taraf status Malaysia kepada 'underweight'.
Mereka memetik kebimbangan mengenai industri perbankan Malaysia, yang merangkumi sekitar 30 peratus iShares MSCI Malaysia ETF (EWM) sebagai salah satu sebab kepada penurun taraf tersebut.
"Tinjauan negatif ke atas kewangan dipacu peningkatan kos kredit ekoran penurunan pinjaman dan pertumbuhan deposit. Bank-bank bergelut dengan pinjaman tidak berbayar (dijangka memuncak kepada 3.1 peratus pada 2018)," kata mereka, menurut kepada laporan Barron's Asia.
iShares MSCI Malaysia ETF telah mengalami kejatuhan 7.7 peratus dalam suku kedua, yang menjadikannya pasaran kedua paling terjejas di Asia selepas Taiwan.
Semalam, Gabenor Bank Negara yang baru, Datuk Muhammad Ibrahim mengakui pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi telah menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam kancah ekonomi seperti yang berlaku kepada Greece.
Muhammad dilantik sebagai Gabenor Bank Negara kelapan berkuatkuasa 1 Mei yang lalu bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang bersara selepas menerajui bank pusat itu selama 16 tahun.
Kini, Muhammad berdepan dengan cabaran untuk menguruskan ekonomi negara ekoran beberapa isu yang melanda negara antaranya kesan kemungkinan berlakunya kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bulan depan dan hala tuju serta isu-isu yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada masa yang sama, Muhammad juga perlu mengambil kira kesan pertikaian persempadanan minyak dan gas di Laut China Selatan.
Sementara itu, JP Morgan telah menaik taraf Australia daripada status 'underweight' kepada 'neutral', ekoran keputusan perolehan daripada tiga bank di negara itu.
Tiga bank berkenaan ialah Westpac Banking Corporation, Australia and New Zealand Banking Group dan National Australia Bank.
Ketiga-tiga bank tersebut, bersama-sama dengan Commonwealth Bank of Australia, merangkumi 30 peratus daripada iShares MSCI Australia ETF.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan