HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mei 2016

Pas mengakui usul Akta 355 untuk PRK dan hasil kerjasama dengan Umno

MALAYSIA DATELINE
 
 
Nik Abduh mengesahkan parti Islam itu akan menggunakan usul persendirian Akta 355 pada PRK akan datang.- Foto MD oleh Wan Zahari Wan SallehNik Abduh mengesahkan parti Islam itu akan menggunakan usul persendirian Akta 355 pada PRK akan datang.- Foto MD oleh Wan Zahari Wan Salleh

Ketua Pemuda Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan bahawa, parti Islam itu akan menggunakan usul persendirian Akta 355 pada dua pilihan raya kecil akan datang.

Beliau juga mengaku perbentangan itu adalah hasil kerjasama antara Pas dengan Umno.

"Kita akan bawa benda ini (isu rang undang-undang persendirian) dalam pilihan raya kecil nanti. Umno pun mungkin akan bawa dan semua ada hak untuk bawa atau tak nak bawa (isu).

"Segala isu akan dibawa untuk rakyat dan ini peluang kita dalam pilihan raya kecil nanti. Rakyat di Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan mendapat penerangan awal berbanding di tempat lain dalam isu ini," katanya kepada pemberita di Parlimen sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Presiden Pas yang juga ahli parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibenarkan membaca buat pertama kalinya rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah bagi membolehkan sebahagian hudud dan takzir dilaksanakan di Dewan Rakyat semalam.

Ia berjaya dilakukan walaupun ia berada di perkara 15 dalam aturan sidang semalam.

Selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi jaminan kerajaan pusat sedia membantu untuk melaksanakan hudud, Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah di Dewan Undangan Negeri.

Kerajaan Pusat dan Kelantan juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal bersama untuk membuka laluan kepada rang undang-undang ini.

Antaranya jawatankuasa ini memutuskan menteri pusat akan membentangkan usul untuk meminda Akta 355 ini.

Namun secara tiba-tiba wakil Pas yang membentang usul ini secara usul persendirian.

Rang undang-undang persendirian Akta 355 dibawa bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pesalah jenayah di negara ini.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 itu juga akan membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Rang Undang-undang itu tidak pernah dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini kerana urusan kerajaan sentiasa didahulukan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pula telah meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac tahun lalu.

Tiada ulasan: