Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Rata-rata pengundi di Parlimen Sungai Besar dan Kuala
Kangsar tidak yakin dengan keupayaan serta kesungguhan pembangkang
berkhidmat untuk mereka.
Demikian hasil dapatan tinjauan yang dilakukan pemerhati politik,
Profesor Madya Dr. Baharuddin Aziz di kedua-dua kerusi berkenaan minggu
lalu.
Menurut beliau, faktor utama penolakan itu adalah disebabkan perpecahan dan percakaran sesama sendiri parti pembangkang.
"Saya lihat dan turun ke Sungai Besar, mereka tidak nampak pembangkang
itu boleh jadi satu gagasan yang kuat untuk menang di kedua-dua PRK
tersebut. Memandangkan hal ini berlaku saya nak sarankan secara peribadi
Pakatan Harapan agar undur diri jangan bertanding," ujar Dr Baharuddin
ketika dihubungi Antarapos.
Dr Baharuddin juga berkata, kemelut yang membelit Pakatan Harapan dan
PAS kini memberikan peluang yang begitu besar kepada Umno Barisan
Nasional (BN), memenangi dua PRK kali ini.
"Perpecahan dan ketidaktentuan Pakatan Harapan, itu telah memberikan
kelebihan kepada BN dan saya nampak PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar
pun sama jugak, rakyat sekarang ini melihat, mereka ada minda sendiri.
Pembangkang tidak boleh bermuafakat, tidak boleh bersatu macam mana nak
menang dan tadbir kawasan," kata Dr. Baharuddin.
Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh
penting dua PRK ini, Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, PKR dan Parti
Amanah negara (PAN) sehingga kini masih belum punya kata sepakat
mengenai parti manakah yang akan meletakkan calon di kerusi berkenaan.
Ketiga-tiga parti itu juga perlu berdepan dengan iltizam PAS, yang
nekad mahu meletakkan calon, sementelah dua kerusi itu adalah milik
mereka secara tradisinya, ketika masih bertahaluf siyasi dengan PKR dan
DAP menerusi Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat terkubur selepas PAS dan DAP bercanggah pendapat mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan.
Dr Baharuddin juga memberi saranan agar pembangkang serta PAS tidak
perlu bertanding pada PRK kali ini dan memberikan kemenangan kepada
calon Umno BN, sebagai menghormati pemergian bekas penyandang dua
kerusi berkenaan.
"Kita ada setahun setengah lagi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Saya kira pembangkang tidak perlu bertanding, bagi sahaja kemenangan
kepada calon BN," katanya.
Ujar dr Baharuddin cadangannya itu bukan sesuatu yang pelik malah ia pernah diberlaku dalam senario politik negara ini.
Umpamanya, Umno BN tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka pada
Februari 2015, selepas penyandangnya, bekas Menteri Besar Kelantan Datuk
Seri Nik Aziz Nik Mat, meninggal dunia ekoran mengidap kanser prostat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan