HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Mei 2016

Pesanan terakhir penguat semangat


Pesanan terakhir penguat semangat
Ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.


SUBANG JAYA - “Kerja rajin-rajin walaupun pilihan itu bukan pilihan kita, beri 110 peratus komitmen.
Biar orang kenal sebab kerja kita,” demikian pesanan mendiang Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai kepada anaknya, Deepa Nanthini, 27.

Menurutnya, pesanan itu akan terus menjadi pegangannya dalam menjalani kehidupan.

“Ayah kata, kita kena rajin dalam apa perkara dan kerja yang dibuat. Biar benda itu kita tak suka, tapi komitmen penting dalam menyelesaikan tugas itu.

“Di situ orang akan lihat kerja kita, kenal kerja kita, suka kerja kita,” katanya kepada pemberita ketika di rumahnya di USJ 2, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter bawa VIP hilang di Sarawak]

Antara orang kenamaan yang hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan pegawai serta kakitangan kementerian mendiang.

Deepa berkata, mendiang merupakan seorang yang merendah diri, ayah yang baik, bijak dan pemurah.

Menceritakan semula detik dia sekeluarga menerima berita nahas itu, Deepa berkata, mereka terus ke Sarawak pada Jumaat pagi selepas dimaklumkan pegawai mendiang bahawa ayahnya berada dalam helikopter tersebut.

"Apabila sampai sahaja di Sarawak, kami sekeluarga menunggu dan setiap kali pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat, kami berharap itu bukan ayah.

“Ketika itu juga perasaan dan fikiran sudah bercampur baur. Ketika itu diharap ayah selamat, tapi bila jasad ayah ditemui, kami terima (hakikat),” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, mendiang merupakan seorang pegawai yang dedikasi dan menyumbang banyak jasa kepada negara.

“Kita kehilangan seorang tokoh yang komited dan harap pegawai-pegawai muda yang ada mencontohi dedikasi mendiang,” katanya.

Jasad mendiang Sundaran dibawa dari kediamannya kira-kira jam 2.30 petang untuk dibakar di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Kampung Tunku.

Tiada ulasan: