HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Mei 2016

Siasatan rasuah dalam kerajaan Selangor tidak boleh dilengahkan

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 

[ULASAN] Jika PKR sebuah parti yang telus dan berintegriti, ia tidak akan menepis isu yang ditimbulkan oleh Naib Presiden merangkap Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berhubung aktiviti rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Rafizi sebelum ini  mengaku menulis dalam kumpulan Whatsappnya beliau mempunyai maklumat bahawa dalam beberapa urusniaga dengan pentadbiran kerajaan negeri ada pihak yang menyogok “wang dan wanita.”

Tuduhan itu serius. Ramai di kalangan pimpinan PKR yang tidak senang dengan pengarah National Oversight and whistleblowers (NOW) itu, sebuah badan bukan kerajaan yang berjuang mendedahkan salahurus dan kegiatan rasuah.

Seorang daripadanya ialah peguam dan juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Latheefa Koya yang menegur Rafizi dalam sebuah lagi kumpulan whatsapp khususnya untuk komunikasi di antara ahli MPP berkenaan.

Dialog di alam siber seperti lazimnya masuk ke pusingan cabar-mencabar di antara Rafizi dan Latheefa. Rafizi mendakwa Latheefa cuba mengelak berdebat. Sebaliknya Latheefa pula menuduh Rafizi yang mencari alasan tidak mahu debat.

Bagaimanapun malangnya, sudah menjadi semacam karakter presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk berdiam diri ketika menghadapi krisis dalam parti.

Beliau langsung tidak memberi komen atau berusaha untuk mengarahkan tuduhan serius itu disiasat. Kebisuan Azizah ini amat memekakkan telinga pemimpin dan penyokong PKR.

Rafizi Ramli adalah aktivis anti-rasuah yang tegar. Beliau dididik secara langsung oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya jujur dan berani dalam memperjuangkan kebenaran.

Sebab itu Anwar melantiknya Pengurus Besar di pejabat Ketua Umum sebelum melepaskan beliau terjun ke dunia politik dan mempercayai Rafizi mengendong amanah sebagai Setiausaha Agung dan Naib Presiden PKR.

Dalam perjuangannya Rafizi tidak begitu mengambil kisah sama ada aktivitinya itu boleh memudaratkan partinya, PKR atau tidak. Beliau tetap menentang sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah.

Baginya setiap aktiviti rasuah dalam bentuk apa sekalipun ia mestilah didedahkan supaya pihak berkuasa boleh bertindak membasmi perbuatan terkutuk itu.

Sebab itu, Rafizi tidak bertangguh untuk mengaku menulis dalam kumpulan pengikut dalam media sosialnya berhubung urusan dalam kerajaan negeri Selangor yang didakwa bersalut kegiatan rasuah.

Kali ini dakwaan Rafizi aneh sedikit. Sebelum ini banyak pendedahan yang dibuatnya membabitkan  pemimpin dan orang-orang penting kerajaan pusat.

Bagaimanapun kali ini Rafizi ‘terketuk batang hidung PKR’ yang memimpin  Selangor. Sebarang dakwaan salah tatakelola  terhadap negeri Selangor bermakna mempertikaikan wibawa PKR sendiri.

Yang pasti Timbalan Presiden yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tidak senang dengan tuduhan itu. Seperti lazimnya, tuduhan itu dianggap sebagai fitnah.

Malah Azmin menyifatkan tuduhan itu fitnah terancang terhadap pentadbirannya dan kakitangan awam di negeri ini.

Katanya, tuduhan yang disebarkan menerusi portal berita dan dikongsi menerusi laman sosial itu adalah  perbuatan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti.

“Dalam melaksanakan serangan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri.

“Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat,” katanya.

Beliau berkata, fitnah terbabit juga sekali gus menafikan sumbangan majlis eksekutif yang telah menyumbang dengan cekap dan bertungkus lumus kepada usaha kerajaan negeri membawakan pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi pada negeri ini.

Bagaimanapun Rafizi masih dilihat tenang menghadapi natijah persepsi buruk yang mungkin menimpa pentadbiran negeri Selangor dan partinya sendiri.

Beliau menegaskan semua maklumat berhubung tuduhan ‘habuan wang dan permintaan perempuan’ dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan diserahkan kepada Presiden PKR bagi mendapatkan nasihat dan arahannya.

"Perkara ini akan dikendalikan secara dalaman mengikut proses yang ditetapkan oleh perlembangan parti," katanya.

Rafizi menegaskan: "tuduhan itu bukan terhadap individu yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor."

"Saya kesal bila mana mesej peribadi itu dipersembahkan dalam konteks yang berlainan kepada umum yang boleh mengundang tanggapan buruk terhadap Kerajaan Negeri Selangor," tambahnya lagi.

Menurut Rafizi, beberapa individu memintanya menyiasat isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum dan beliau merujuk perkara itu kepada Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin. Bagaimanapun mesej itu  dibocorkan.

"Ini adalah perkara biasa yang saya hadapi setiap hari sebagai Pengarah Eksekutif NOW (National Oversight & Whistleblowers), saya menerima beribu maklumat dan aduan setiap tahun yang mendakwa salahlaku dan penyelewengan di pelbagai institusi awam dan swasta.

"Oleh itu, aduan dan tuduhan yang dirujuk di dalam mesej WhatsApp saya akan melalui proses yang sama seperti aduan-aduan lain untuk melepasi keperluan bukti minimum.

"Jika tiada bukti sokongan yang adil, NOW tidak akan memanjangkan perkara ini kerana sumber kita adalah terhad," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya rela terlebih berhati-hati kerana sebagai parti reformasi, PKR mestilah telus dan bersih. Tidak mencukupi bagi pimpinan dan anggota kita tidak terlibat di dalam penyelewengan, kepekaan kita kepada persepsi rakyat mengenai bersihnya kita mestilah mengatasi semua parti lain di negara ini," katanya.

Sekali lagi kepemimpinan Wan Azizah ditagih. Isu integriti ini ialah soal maruah parti itu. Dalam isu warkah Anwar Ibrahim,

Wan Azizah dilihat kurang tangkas menghimpun kesepakatan parti menentukan pendirian akan isu-isu yang dibangkitkan oleh Anwar.

Rafizi masih dilihat seorang pejuang muda membela kebenaran dan keadilan. Kompas moralnya masih utuh dan tinggi. Wan Azizah perlu menyiasat dakwaan Rafizi itu hingga ke akar umbinya.

Selain integriti PKR perlu dijaga, maruah dan keikhlasan perjuangan Rafizi juga perlu dibela. Siasatan peringkat parti perlu dilakukan dalam kadar segera.

PKR perlu pastikan bahawa pendedahan ini tidak didorong oleh motif politik sesama pimpinan. Rakyat memerhati

Tiada ulasan: