KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mungkin
melaksanakan penjadualan bekalan air di Pasir Gudang dan sebahagian
kawasan di Johor Bahru, sekiranya paras air di Empangan Sungai Layang di
Johor Bahru terus menyusut ke tahap paling kritikal iaitu 19.0 meter.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata paras air
sedia ada yang dicatatkan di empangan itu ialah 19.55 meter dan dijangka
hanya mampu bertahan antara dua hingga tiga minggu dari sekarang.
"Kami berharap ia tidak dilaksanakan namun orang ramai perlu mula
menyimpan dan menggunakan air secara rasional demi kebaikan semua
pihak," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan ke empangan
terbabit di Johor Bahru semalam.
Sehingga hari ini, penjadualan bekalan air hanya dilaksanakan di dua kawasan di Johor iaitu di Mersing dan Kota Tinggi.
Mohd Ridhuan berkata langkah itu dilakukan sejak 18 April dan berakhir pada 15 Mei ini.
Namun, disebabkan cuaca panas, penjadualan itu juga dilanjutkan
memandangkan sumber air sedia ada di tiga tempat iaitu Sungai Mersing,
Sungai Gembut dan Empangan Congok telah melepasi paras amaran dan
kritikal iaitu antara 0.95 meter hingga 12.04 meter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan