Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas permintaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk menangguhkan pelaksanaan jadual gaji minimum, kata setiausaha agung kesatuan itu, Gopal Kishna.
Walaupun
MTUC kecewa atas kadar gaji minimum baru yang sepatutnya RM1,200
sebulan tetapi ditetapkan pada kadar antara RM920 hingga RM1,000 sebulan
sahaja, pihaknya yakin skim tersebut tidak akan membebankan majikan.
"Kami yakin ia tidak akan membebankan majikan kerana kenaikan tersebut tidak terlalu besar.
"Justeru, untuk mengatakan pelaksanaan skim gaji baru itu
akan menyebabkan pembuangan atau pemberhentian pekerja, itu alasan yang
tidak munasabah," kata beliau dalam kenyataan.
Ini kerana, ujarnya, berdasarkan kajian dan pemerhatian
MTUC ketika skim gaji minimum diperkenalkan pada tahun 2013, tiada
majikan yang terpaksa menutup perniagaan mereka atau berlaku lonjakan
besar dalam kos pengeluaran.
"Jika situasi seperti itu tidak terjadi tiga tahun yang
lalu, kenapa majikan mahu memberikan alasan tidak munasabah seperti itu
sekarang," tambahnya.
Semalam, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berharap
kerajaan menangguhkan pelaksanaan skim jadual gaji minimum kerana 30,000
pekerja berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum
Julai ini jika ianya dilaksanakan.
"Majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika PGM 2016 berkuatkuasa ekoran cabaran ekonomi semasa.
"Bagi mengurangkan kos operasi, kemungkinan besar mereka
akan melakukan "retrenchment" sebelum Julai kerana jika mereka melakukan
selepas Julai, sudah tentu mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi
dari segi pembayaran faedah berhenti kerja dan sebagainya," kata beliau
kepada Bernama.
Shamsuddin berkata pekerja yang berisiko diberhentikan
kerja ialah dari pelbagai sektor terutama sektor minyak dan gas,
perbankan dan kewangan, insurans serta peruncitan.
Mengulas lanjut, Gopal menambah, oleh itu, MTUC yakin
boleh membawa kelebihan dan impak positif kepada pihak pekerja dan
negara secara amnya.
"Kami percaya manfaat yang sama akan turut dirasai oleh
majikan dan meminta kerajaan bertegas untuk melaksanakan skim gaji
minimum itu seperti yang dirancangkan," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan