Antara
gambar terbaharu Abdul Lajan (kanan) bersama Meng Gum (dua, kiri) dan
Ah Chai (dua, kanan) ketika masing-masing sudah di usia emas.
RAUT wajahnya ada iras keturunan mamak, namun masih tidak lari dari acuan Melayu. Sekali pandang, tiada apa istimewa tentang lelaki yang sudah berusia ini.
Menetap di Kampung Malaysia Raya, perkampungan Melayu di Sungai Besi, warga emas ini kelihatan biasa-biasa sahaja, namun ada cerita di sebalik wajah kacukan itu.
Bukan keturunan, tetapi keunikan yang ada pada empunya nama Abdul Lajan @ Anwar Hayatullah, yang kini sudah berusia 69 tahun.
Siapa sangka, walaupun kini tinggal di kelompok majoritinya satu bangsa, lelaki Melayu ini mampu menguasai Bahasa 1Malaysia (Tamil dan Cina) yang sudah menjadi ‘makanannya’ sejak berusia 20an lagi.
Ternyata kelebihan dimilikinya itu ada sejarah tersendiri tanpa melalui sebarang proses pendidikan formal.
“Semua tercetus ketika muda dulu, saya tinggal di penempatan di gelar Kampung Musang, terletak di Jalan Sungai Besi Batu 3 1/3. Ketika itu, saya sering curi telur ayam jiran India.
"Dia akan tanya saya dalam bahasa ibundanya, sama ada saya ada ambil telur ayam (koli motek)
“Saya tanya balik, apa tu ‘koli motek’? Itu telur ayam lah, dia kata. Oh, saya kata dalam hati, ‘koli motek’ telur ayam rupanya. Sejak itu saya mula belajar beberapa perkataan lain sehinggalah kini saya mampu faham sehingga 70 peratus bahasa Tamil ,” katanya.
Kampung Musang yang dihuninya selama lebih 20 tahun sebelum mendapat tanah di Kampung Malaysia Raya, dahulunya merupakan perkampungan majmuk yang terdiri daripada pelbagai kelompok bangsa.
Jadi tidak hairanlah penguasaan bahasa yang dimiliki lelaki ini mampu terhasil daripada pergaulan rakan sebaya tanpa mengenal warna kulit.
“Budak-budak kampung dulu nakal. Saya tanya macam mana nak cakap selamat pagi dalam bahasa cina?
Mereka ajar perkataan kotor. Saya ni tak tahu maksud sebenar, jadi saya tegurlah orang cina dengan perkataan tu. Tapi mereka kata pada saya balik. Jangan cakap itu ayat kotor.
“Macam-macam saya dikenakan oleh kawan-kawan. Saya nak tegur seorang perempuan nak ucap selamat pagi. Tapi ayat bahasa Cina yang kawan saya ajar, bermaksud ‘saya cinta awak’, perempuan tu pun terkejut.
“Jadi sejak itu saya mula faham dan susun ayat. Mula-mula memang susah tapi apabila sudah biasa, kita boleh faham. Tapi saya hanya tahu cakap, tak tahu baca dan tulis ,” katanya.
Keunikan kisah lelaki ini tidak berhenti di situ. Abdul Lajan juga mempunyai sejarah perkahwinan campur dalam keluarganya.
Dia sendiri mengahwini wanita Cina, Salina Chang Abdullah, 69, sejak lebih 40 tahun lalu dan mengambil seorang anak angkat lelaki, Abdul Razak Isa, 24, daripada keluarga Melayu sejak baru lahir.
Allahyarham bapanya pula merupakan warga Pakistan yang berkahwin dengan Allahyarham ibunya, berasal daripada perak.
“Walaupun isteri saya Cina, dia tidak tahu berbahasa Cina kerana dibesarkan keluarga angkat. Jadi sayalah yang ajarnya.
“Pernah ketika beli barang, ada penjual Cina tanya pada orang rumah saya mahu beli apa, tapi saya yang jawab dalam bahasa cina. Penjual tu terkejut. Dia kata tanya yang putih, tapi hitam yang jawab,” ceritanya.
Ah Chai, Meng Gum dari musuh jadi sahabat sejati
Pergaulannya bersama rakan sekampung pelbagai bangsa menjadikan Abdul Lajan dikenali, walaupun sebagai musuh.
Namun, itu cerita zaman masing-masing sedang membesar.
Hubungan bersama dua rakan berbangsa Cina, masing-masing Ah Chai dan Yong Meng Gum berusia 60-an yang terjalin sehingga kini, bagaikan sudah jadi seperti keluarga.
Abdul Lajan berkata, jalinan persahabatan mereka bermakna baginya kerana kedua-dua rakannya itu tidak pernah lokek menghulurkan bantuan ketika dia dalam kesusahan.
Meng Gum, yang pernah bermastautin di Denmark, kini sudah kembali ke Malaysia dan hubungan mereka tidak pernah putus walaupun jarak dan waktu memisahkan.
“Saya pernah bermusuh dengan mereka, zaman muda, masing-masing mahu tunjuk hebat. Tapi itu bukan halangan kami terus bersahabat.
“Ketika saya sakit, mereka antara rakan yang ambil berat, bahkan tidak pernah berkira menghulurkan bantuan waima dalam bentuk kewangan dalam jumlah yang besar ,”katanya.
Situasi itu membuatkan dia sentiasa bersyukur dikurnia sahabat walaupun berlainan bangsa dan agama.
Terselamat dari jadi mangsa rompak
Abdul Lajan, yang juga mesra dengan panggilan Anwar, juga merupakan bekas pemandu teksi 38 tahun.
Dalam tempoh itu, sebagai seorang yang kuasai bahasa daripada pelbagai bangsa, tentunya mempunyai kisah menarik untuk dikongsi.
Antara pengalaman tidak dapat dilupakan apabila dia hampir menjadi mangsa rompakan dua lelaki Cina yang merancang berhenti di lorong belakang kawasan rumah kedai untuk merompaknya.
“Saya layan apabila mereka mula-mula minta berhenti di tempat lain. Namun, ketika mereka sedang berbincang untuk berhenti di tempat sunyi untuk rompak saya, saya sudah dapat tangkap butir percakapan mereka dan terus memecut ke balai polis.
“Kedua-dua lelaki itu terus keluar dari teksi dan lari lintang-pukang sebaik tiba di pekarangan balai polis,”katanya.
Selain kejadian itu, satu lagi insiden turut kekal dalam ingatan Anwar apabila dia tersasul berbahasa Cina pada waktu yang tidak sepatutnya.
“Saya ambil penumpang dipercayai sepasang kekasih. Berdasarkan perbualan mereka, dapat dapat tahu mereka baru sahaja selesai proses menggugurkan kandungan di sebuah klinik swasta.
“Si perempuan berulang kali menyatakan rasa takut jika keluarganya tahu dan lelaki itu berjanji ia rahsia mereka berdua. Saya hanya dengar.
“Nak dijadikan cerita, ketika lelaki tanya harga tambang, saya tersasul sebut dalam bahasa Cina. Muka pasangan itu berubah dan serta-merta berlalu dengan pantas tanpa mengambil baki wang selepas menghulurkan RM50. Walhal tambang hanya RM14. Mungkin mereka takut dan malu,” katanya.
Wajahnya yang tidak berapa Melayu pernah disangka anak India oleh adik tirinya sendiri ketika dia berusia 29 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan