shahbudindotcom
Secara
tiba-tiba usul Hadi Awang untuk meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah
yang gagal dilakukannya sebanyak empat kali sebelum ini iaitu sejak
1995, diluluskan oleh kerajaan untuk dibentangkan pada hari terakhir
persidangan Parlimen, hari ini.
Usul
Pas ini, jika diluluskan akan membolehkan Mahkamah Syariah di Kelantan
menggunakan undang-undang syariah seperti yang ditetapkan oleh Enakmen
Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan dan seterusnya memberi laluan kepada
perlaksanaan hukum hudud di negeri tersebut.
Bagaimanapun,
sebaik diberi kelulusan untuk membentangkan usul tersebut, Hadi Awang
memohon ia ditanggungkan sehingga ke sesi Parlimen pada 17
Oktober depan.
Mengapa kerajaan tiba-tiba memberi kebenaran dan mengapa pula Hadi Awang menangguhkannya?
Sambil
mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan
pembentangan usul itu, Hadi Awang memberi alasan beliau menangguhkannya
disebabkan kekangan masa berikutan hari ini adalah hari terakhir sesi
Parlimen kali ini.
Benarkah ia semata-mata sebab itu?
Bukankah Hadi sepatutnya sudah bersedia dengan draf pembentangan sepanjang masa?
Selain itu, tidakkah juga usul boleh dibentangkan terlebih dahulu, cuma perbahasan saja yang ditangguhkan?
Dalam
konteks UMNO dan kerajaan, mengapa tiba-tiba bersetuju dengan
pembentangan usul berkenaan sedangkan ia seolah-olah tidak dibenarkan
untuk dibentang sebelum ini, bahkan Najib Razak sendiri pernah
mengatakan hudud tidak akan dilaksanakan sama sekali di Malaysia?
Mengapa sepantas itu UMNO tiba-tiba berubah?
Adakah
kelulusan pembentangan ini bertujuan mengikat Pas untuk terus "kacau
daun" bertanding dan menolak sebarang kompromi dengan PKR dalam
pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan datang?
Pas
yang boleh dikatakan tiada harapan untuk mendapat undi bukan Melayu
sekarang ini, maka dengan kerjasama melalui usul hudud itu akan
membolehkan Pas memperolehi lebih sokongan daripada blok undi Melayu
yang pro pembangkang berbanding calon Pakatan Harapan yang turut
bertanding.
Natijahnya,
hanya blok undi Melayu pro pembangkang yang akan berpecah, manakala
yang pro kerajaan tetap tidak berubah dan terus terarah kepada BN.
Dengan
sedikit sokongan pengundi bukan Melayu, maka kelebihan tentu saja akan
memihak kepada BN berbanding Pakatan Harapan. Calon Pakatan Harapan,
walaupun mungkin mendapat lebih sokongan bukan Melayu, tetapi kemenangan
mereka boleh dinafikan melalui undi Melayu yang lebih kecil dan
berpecah dengan Pas.
Pas
yang terpaksa berbahagi dua undi blok Melayu pro pembangkang dengan
calon Pakatan Harapan, tetapi tidak mendapat sokongan bukan Melayu,
hakikatnya tidak mungkin menang, baik di Sungai Besar mahupun di Kuala
Kangsar.
Bagaimanapun,
Pas mungkin boleh berpuas hati meskipun kalah kerana usul hudud mereka
yang diberi pertimbangan oleh kerajaan sudah boleh dianggap sebagai
kemenangan.
Dengan
kebenaran yang diberi oleh kerajaan ini, sudah barang pasti kempen Pas
di kedua-dua pilihanraya ini tidak lagi menyasarkan keburukan UMNO, isu
1MDB, wang RM2,600 juta dan hal-hal berkaitan Najib dalam
kempen-kempennya.
Penangguhan
usul sehingga Oktober juga tidak terkecuali bertujuan memberi ruang
kepada UMNO yang dikelilingi oleh parti-parti kompenan dalam BN yang
diketahui menolak hudud agar tidak terlalu terbelenggu dengan isu
tersebut dalam menghadapi dua pilihanraya yang dianggap penting untuk
menguji sokongan rakyat terhadap Najib.
UMNO
mungkin boleh melembutkan hati rakan-rakan komponennya bahawa yang
diberikan mereka setakat ini hanyalah kebenaran kepada Pas dalam
membentangkan usul, bukannya sokongan terbuka kepada hudud.
Persoalannya
ialah apa pendirian UMNO dan BN selepas pilihanraya kecil Sungai Besar
dan Kuala Kangsar atau ketika pengundian di Parlimen setelah usul
dibentangkan Oktober nanti?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan